Terima wang ihsan: Kenapa tidak beri bantuan raya kakitangan Kerajaan Negeri?


 

Kenyataan Kementerian Kewangan minggu lalu bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah menerima lebih RM700 juta wang ihsan sumbangan Kerajaan Persekutuan seharusnya dipanjangkan dengan pemberian bantuan khusus kepada kakitangan Kerajaan Negeri.



Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, kakitangan Kerajaan Negeri yang telah menyumbang khidmat bakti terbaik sepatutnya dihargai sebagaimana beberapa negeri lain yang memberi bantuan khas hari raya.



"Susulan penerimaan wang ihsan khusus yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, KEADILAN Kemaman menggesa Menteri Besar Terengganu supaya mengumumkan bantuan khas kepada penjawat awam negeri seperti mana yang diumumkan Kerajaan Persekutuan dan berberapa Kerajaan Negeri yang lain kepada penjawat awam



"Negeri Kelantan yang menerima jumlah wang ihsan yang lebih rendah berbanding negeri Terengganu juga mampu mengagihkan bantuan khas kepada penjawat awam mereka. Justeru apa yang menghalang pihak Kerajaan Negeri Terengganu untuk melakukan perkara yang sama?" tanyanya dalam satu kenyataan.



Selain itu, Ahmad Nadhir turut mempersoalkan sampai bilakah Kerajaan Terengganu perlu menerima bantuan daripada pusat dalam menguruskan negeri.



Katanya, rakyat diperdaya dengan pelbagai projek yang kononnya dibuat oleh kerajaan Pas sehingga mereka memenangkan parti itu 32 - 0 dalam pilihan raya negeri lalu kini berasa tertipu apabila berlaku kekurangan kewangan, bahawa lebih 80% kewangan negeri hakikatnya bergantung kepada belas kasihan musuh politik mereka, Kerajaan Madani.



Katanya, pentadbiran Terengganu tidak seharusnya terlalu bergantung kepada ihsan Persekutuan terutama dalam pembayaran gaji kepada kakitangan Kerajaan Negeri.

"Jika benar prestasi Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pas adalah cemerlang, kenapakah Kerajaan Persekutuan memberi wang ihsan khusus untuk pembayaran emolumen?



"Tidakkah sebuah kerajaan yang cemerlang itu mampu untuk mandiri bagi pembiayaan emolumen mereka sendiri tanpa bantuan kerajaan persekutuan?" tanyanya.



Oleh itu, KEADILAN Kemaman menggesa supaya Kerajaan Negeri turut berkongsi bantuan khas yang diperolehi kepada kakitangan bawahan kerana bantuan itu adalah hak rakyat negeri Terengganu.



Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan telah mengagihkan bantuan wang ihsan sebanyak RM786 juta kepada Terengganu dan RM200 juta kepada Kelantan pada 2023. Untuk awal 2024 pula, Kerajaan Persekutuan telah mengagihkan wang ihsan kepada Terengganu sebanyak RM172.3 juta.



No comments: