Pengenalan dasar subsidi bersasar untuk diesel bersubsidi dijangka pada Mei tahun ini dilihat sebagai langkah perlu dalam menangani ketirisan dan penyeludupan bahan api itu yang semakin menjadi jadi.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahuddin, perutukan subsidi diesel yang telah mencapai RM20 bilion pada 2024 akan mengancam ekonomi negara sekiranya diteruskan dengan polisi terbuka sebagaimana hari ini.
Hal itu kerana, katanya, peruntukan subsidi yang dikeluarkan kerajaan bertambah secara drastik sejak 2020 tetapi jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat 2.4% sahaja.
“Kalau kita lihat sebelum Covid-19 subsidi diesel hanyalah sekitar 6.1 bilion liter, tetapi sekarang ia telah meningkat sehingga 10.8 bilion liter.
“Ia telah meningkat begitu drastik. Jadi di mana subsidi diesel itu pergi? Berkemungkinan besar subsidi itu berganjak kepada sektor yang tidak berhak mendapat subsidi,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Jelas beliau, tanggungan yang besar itu memberi beban yang lebih tinggi kepada negara untuk menampung perbelanjaan subsidi dan mengkompromikan peruntukan kepada sektor lain.
“Perlu untuk kita faham kerajaan sekarang menampung RM20 bilion bagi perbelanjaan subsidi diesel tahun ini.
“Sedangkan lebihan perbelanjaan boleh digunakan untuk membuat sekolah, hospital mahupun infrastruktur yang lain untuk rakyat.
“Sebab itu golongan yang berkemampuan harus bayar pada kadar harga apungan RM3.48 seliter, bukannya bayaran bersubsidi yang sepatutnya untuk sektor yang layak sahaja,” ujarnya lagi.
Polisi subsidi diesel bersasar akan dibawa ke Jemaah Menteri pada April ini untuk dimuktamadkan. Selepas mendapat persetujuan Kabinet maka polisi berkenaan dijangka akan dikuatkuasakan pada Mei 2024.