PM arah tingkat kemudahan wad kelas tiga HKL


 

Kerajaan MADANI komited memastikan keselesaan pesakit yang mendapatkan rawatan di kemudahan di bawah Kementerian Kesihatan.



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi tujuan itu, pentadbirannya akan menyegerakan usaha melengkapi kemudahan yang perlu di wad kelas tiga Hospital Kuala Lumpur (HKL).



"Kita lihat sendiri macam kawasan wad kelas tiga itu panas sikit dan sesak, dan menteri (Datuk Seri Dzulkefly Ahmad) akan bawa untuk perhatian Jemaah Menteri agar kita segerakan mana yang perlu," katanya dipetik.



Terdahulu, beliau dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail diiringi oleh Dzulkefly dan Pengarah HKL mengadakan lawatan di hospital berusia lebih 150 tahun itu sekaligus menyantuni pesakit yang sedang dirawat dalam suasana cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.



Pada lawatan itu beliau turut mengucapkan tahniah kepada HKL atas kecemerlangan prestasi hospital itu yang mendapat pengiktirafan dunia, dan beliau berharap pencapaian tersebut akan menjadi galakan kepada semua pihak untuk meningkatkan usaha dan khidmat mereka.



Dalam pada itu, Anwar berkata beliau mahu kajian menyeluruh dibuat tentang pemerolehan ubat-ubatan oleh semua hospital dan klinik kerajaan di negara ini agar tidak berlaku pembaziran dan kerugian.



"Apakah ubat-ubatan itu digunakan sepenuhnya, tidak ada pembaziran dan apakah keutamaan… itu kita perlu beri tumpuan kepada HKL kerana jumlah (yang diperlukan) lebih besar.



"… tetapi kita juga kena beri tumpuan kepada klinik di Kapit, klinik di Manek Urai umpamanya… jadi hal ini dilihat keseluruhannya oleh kementerian dan kita buat keputusan," katanya yang juga Menteri Kewangan.