Pusat salur RM2.81 bilion peruntukan pembangunan ke Kelantan
Meskipun Kelantan diperintah
oleh parti pembangkang, negeri itu tidak diabaikan oleh Kerajaan Pusat apabila
sejumlah RM2.81 bilion bagi peruntukan pembangunan telah diluluskan, kata
Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam.
Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad,
peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menerusi Rolling Plan
Keempat 2024 itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM0.24 bilion berbanding
peruntukan asal pada tahun lalu.
"Sebanyak 92 projek baharu
telah diluluskan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 425 projek.
Kementerian Kerja Raya (KKR)
mencatat jumlah peruntukan terbesar pada tahun ini iaitu RM0.8 bilion dan
melibatkan 32 projek," kata Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik pada Majlis Makan
Malam Bersama Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM di Kota Bharu malam
tadi.
Teks ucapan Nik Nazmi yang juga
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan dibacakan
oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim.
Nik Nazmi memberitahu
projek-projek utama di bawah KKR membabitkan enam pakej pembinaan Lebuh Raya
Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) dan sembilan pakej Lebuh Raya Lingkaran Tengah
Utama (LTU) dari Kuala Krai ke Gua Musang.
"Kesemua 14 daripada 15
pakej tersebut kini dalam pelaksanaan manakala satu pakej di peringkat
perolehan dengan jumlah keseluruhan kos pembinaan adalah sebanyak RM4.79
bilion," katanya.
Nik Nazmi berkata pembinaan
jaringan pengangkutan menyeluruh termasuk jajaran lebuh raya, projek Laluan Rel
Pantai Timur (ECRL) serta naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra
(LTSIP) sedang rancak dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau
menjelaskan Kerajaan Pusat juga meluluskan fasa baharu Projek Lembangan Sungai
Bersepadu (PLSB) dengan kos RM1.06 bilion bagi Fasa 2 Sungai Kelantan dan RM0.5
bilion bagi Fasa 3 Sungai Golok.
"Untuk rekod sebanyak 13
projek secara terkumpul berkaitan banjir di pelbagai peringkat pelaksanaan
telah diluluskan di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.83 bilion.
"Saya berharap semua pihak
khususnya agensi pelaksana terlibat agar dapat memastikan pelaksanaan
projek-projek ini berjalan dengan lancar malah jika mampu elakkan sebarang
masalah menyumbang kepada kelewatan pelaksanaannya," katanya.