SPRM panggil 20 saksi bantu siasat kes Spanco


 

Seramai 20 orang saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan terhadap Spanco Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pemegang konsesi membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.



Beliau berkata, anggota pentadbiran negara sebelum ini yang terlibat dalam memberikan kontrak kepada syarikat itu mungkin dipanggil sekiranya diperlukan.



"Kita akan panggil sesiapa sahaja, malah pembuat keputusan pada masa itu yang memutuskan untuk menganugerahkan projek itu kepada Spanco. Sejarah di sebalik bagaimana syarikat itu dianugerahkan dengan kontrak itu merupakan satu daripada perkara dalam siasatan kami.



"Tidak kisah mereka siapa pun, jika ada keperluan, kita akan panggil mereka," kata Tan Sri Azam Baki kepada pemberita selepas program Cakna Rasuah: SPRM bersama media Sarawak hari ini, lapor Bernama.



Azam bagaimanapun berkata siasatan terhadap Spanco tidak akan memberi kesan kepada kontrak sedia ada syarikat itu untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan.



"Fokus siasatan kita akan melihat kepada dua aspek iaitu pertikaian pembatalan kontrak LOI (surat hasrat) dan juga bagaimana syarikat tersebut boleh mendapat kontrak itu sebelum ini. Kontrak sedia ada (untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan) masih on, siasatan tidak akan membatalkan kontrak," katanya.



Semalam ketika berucap dalam perhimpunan kakitangan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata isu melibatkan kontrak kepada Spanco hanya merugikan negara.



Untuk rekod sejak 1993, Spanco memegang konsesi membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan namun apabila kontrak tamat pada 2019, tender terbuka telah dilancarkan untuk penganugerahan kontrak seterusnya.



Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsesi dan memperoleh kontrak itu melalui surat hasrat (LOI) pada tahun tersebut.



Namun LOI ditamatkan pada 2020 dan tender dianugerahkan kepada Spanco.



Pada Julai tahun lalu, pengasas Berjaya Tan Sri Vincent Tan menfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan dan Spanco berhubung LOI yang ditamatkan dan mendakwa kontrak itu dianugerahkan kepada Spanco walaupun harga yang ditawarkan syarikat berkenaan lebih tinggi.

 


No comments: