TIP OF THE ICEBERG – STATUS SOSIO-EKONOMI atau LOKASI SEKOLAH?






1. Antara rumusan OECD berdasarkan analisis skor murid negara-negara terlibat dalam setiap pusingan PISA ialah latar belakang Status Sosio-ekonomi murid (SES – Social-economic Status) yang didapati mempunyai pengaruh ketara ke atas pencapaian pembelajaran mereka. Walaupun begitu rumusan tersebut juga menyebut bahawa prestasi murid yang lemah di sekolah tidak bermakna secara automatik berpunca daripada kelemahan sosio-ekonomi.


2. Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan rumusan ini kerana dalam konteks Malaysia, secara perbandingan dapatan pusingan PISA 2022 berdasarkan SKOR PURATA PENCAPAIAN MENGIKUT LOKASI SEKOLAH dan SKOR PURATA PENCAPAIAN MENGIKUT STATUS SOSIO-EKONOMI menunjukkan jurang perbezaan skor yang ketara. Dan saya berpendapat ini memerlukan analisis dan kajian lanjut kerana kemungkinan besar hal ini boleh memberi kesan kepada penilaian semula dasar dan strategi sedia ada dalam merapatkan jurang skor pencapaian murid.


3. Berdasarkan dua carta di bawah jelas menunjukkan dalam ketiga-tiga literasi berkenaan, jurang skor purata murid mengikut status sosio-ekonomi jauh lebih besar dibandingkan jurang skor purata murid  mengikut lokasi sekolah. Perbezaan yang ketara ini seolah-olah memberikan isyarat bahawa dasar dan strategi dalam mensasarkan resos, bantuan dan sokongan pendidikan yang lebih tepat kepada sekolah dan murid ialah STATUS SOSIO-EKONOMI sekolah dan murid bukannya LOKASI SEKOLAH iaitu di mana sekolah dan murid itu berada.


4. Sejak merdeka dasar dan strategi kita dalam mensasarkan resos, bantuan dan sokongan pendidikan cenderung tertambat dengan KATEGORI SEKOLAH mengikut lokasi bandar dan luar bandar dengan beberapa variasi umpamanya bandar, pinggir bandar dan luar bandar atau pedalaman 1, pedalaman 2 dan pendalaman 3. Kategori sedemikian perlu dilihat semula kerana kategori tersebut berdasarkan dua andaian asas iaitu di luar bandar tidak mempunyai INFRASTRUKTUR yang baik, dan kedua dari segi DEMOGRAFI, majoriti penduduk bumiputera di luar bandar mempunyai status sosio-ekonomi yang rendah.


5.  Selepas 60 tahun merdeka sudah tentu banyak perubahan berlaku dalam status infrastruktur dan demografi penduduk di luar bandar dan bandar. Oleh itu isyarat yang dikesan dalam analisis keputusan skor PISA di atas  menunjuk keperluan mewujudkan kategori tambahan iaitu kategori sekolah yang terkesan atau terjejas kerana bilangan murid berstatus sosio-ekonomi yang rendah,  tanpa terikat dengan lokasi sekolah berkenaan.


6. Sekurang-kurangnya diperingkat makro, kategori baharu ini dapat memandu penggubalan dasar dan strategi baharu dalam mensasarkan resos , bantuan dan sokongan pendidikan dengan lebih tepat. Di peringkat meso dan mikro pula kategori ini berguna dalam merangka inisiatif untuk meredakan impak latar belakang sosio-ekonomi agar setiap murid dapat dikembangkan potensi mereka.


Wallahu’alam.



No comments: