RASA KECEWA PENYOKONG NAJIB KEPADA ZAHID HAMIDI MULA BERTUKAR MENJADI MARAH, SIAPA ‘KACANG HANTU’ DALAM UMNO?

 

Di sebalik Zahid Hamidi telah cuba melakukan macam-macam perkara untuk terus memperjuangan pengampunan penuh bagi Najib Razak, penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri itu nampaknya masih “berbulu hati” terhadap Presiden UMNO itu.

Selain dikatakan ada penyokong kuat Najib tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat khas MT UMNO pada pagi Sabtu, sejumlah Ketua Bahagian pula dilihat semacam memboikot program taklimat tertutup yang diadakan petang Ahad lalu.

Menurut laporan, daripada 191 Ketua Bahagian yang masih hidup dan segar bernafas dalam UMNO ketika ini, hanya 145 orang saja yang menghadirkan diri dalam taklimat tersebut.

Ini bermakna, seramai 46 Ketua UMNO Bahagian tidak hadir dengan sebahagian besarnya adalah penyokong-penyokong Najib.

Selain ada yang memberi alasan tidak berminat untuk hadir, ada juga yang berbuat demikian kerana kecewa dengan keputusan Lembaga Pengampunan.

Dalam perbualan antara Ketua Bahagian Bahagian UMNO dengan beberapa kenalan mereka, luahan kecewa itu bukanlah disebabkan mereka membantah keputusan Lembaga Pengampunan itu, malah mula bertukar kepada rasa marah.

Mereka kecewa dan marah kerana percaya UMNO, khususnya Zahid Hamidi, tidak memberi tekanan yang cukup kuat kepada kerajaan dan Perdana Menteri untuk memastikan Najib diberi pengampunan penuh.

Difahamkan ada yang berkata, kalau untuk dirinya sehingga beroleh DNAA dalam kes mahkamah yang sedang dihadapinya, sepatutnya Zahid Hamidi berbuat seribu daya juga untuk memperjuangkan pengampunan penuh buat Najib.

Dalam hal yang dilihat mungkin berkaitan, seorang ahli MT UMNO, Dr Puad Zarkashi berkata, parti itu tidak mungkin boleh “move on” jika pemimpinnya hanya mementingan diri sendiri saja.

Kata beliau, UMNO sememangnya wajib “move on”, namun tidak boleh mengabaikan pandangan ataupun perasaan akar umbi parti.

“Tetapi UMNO tidak boleh “move on” jika pemimpin pentingkan dirinya. Asalkan dia selamat dan tidak diganggu.

“Sebab itu jangan pandang ringan perasaan akar umbi. Jika mereka berkecil hati dan membuat protes senyap, parti tidak boleh “move on.

“UMNO tidak perlu pemimpin raja formula. Formula hanya untuk dia sahaja yang bangkit tetapi bukan untuk partinya yang bangkit,” ujar beliau dalam catatan di media sosialnya.

Sebagai penyokong kuat Najib, apakah tulisan Dr Puad itu mewakili rasa kecewa penyokong-penyokong Bossku terhadap Zahid Hamidi?

Persoalan kini, ke manakah sudahnya akan berlabuh kemarahan penyokong-penyokong Najib itu?

Di waktu yang sama, Zahid Hamidi lewat petang semalam menggesa parti-parti dalam kerajaan agar menegur anggota masing-masing yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.

Bahkan, beliau melabelkan mereka itu sebagai “kacang hantu”.

Mengakui dalam UMNO sendiri turut ada “kacang hantu”, Zahid Hamidi berkata, selain ketua parti perlu membuat teguran, ahli parti yang berkenaan juga perlu menarik balik tulisan mereka dan seterusnya mohon maaf atas keterlanjuran yang telah dilakukan.

“Saya harap perkara ini dapat meredakan keadaan”, ujar Zahid Hamidi.

Bolehkah Zahid Hamidi sebutkan siapa “kacang hantu” dalam UMNO itu apakah gelaran tersebut ditujukan khusus kepada penyokong-penyokong Najib? – ShahbudinHusin 06/02/2024.