UMNO YANG KIAN LEMAH SEPATUTNYA LEBIH MENGGEMBIRAKAN BERSATU DAN TUN MAHATHIR


Susulan keputusan buruk yang diterima UMNO dalam PRK Kemaman Sabtu lalu, ramai yang cuba menzahirkan simpati kepada masa depan parti itu.


Terutama yang nampaknya paling simpati tentang masa depan UMNO itu ialah Bersatu dan tidak terkecuali juga ialah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.


Beberapa pemimpin Bersatu lantas memberi pandangan agar UMNO perlu segera mengkaji semula hubungannya dengan PH melalui pembentukan kerajaan perpaduan jika tidak mahu terus tenggelam dalam PRU akan datang.


Kata mereka, keputusan PRK Kemaman adalah bukti keberadaan UMNO dalam kerajaan perpaduan yang ada DAP di dalamnya, tidak diterima oleh pengundi Melayu.


Begitu juga dengan Tun Mahathir yang pernah menyarankan kepada Ahmad Zahid Hamidi agar membubarkan UMNO, kali ini simpatinya kepada masa depan parti itu terjulang bukan main kepalang.


Menurut beliau, jika UMNO terus bekerjasama dengan PH dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim yang ada DAP, parti itu lenyap dalam PRU16 nanti.


Tambah bekas Pengerusi GTA yang partinya hilang deposit semua kerusi ditandingi pada PRU15 lalu, hanya dengan memisahkan diri daripada DAP dan kembali kepada perjuangan asal saja yang membolehkan UMNO diterima semula oleh orang Melayu.


Baik Bersatu mahupun Tun Mahathir, kedua-duanya adalah musuh ketat UMNO dan sentiasa mahu mengalahkan parti itu.


Mereka bukanlah kawan baik, bukan juga kawan yang boleh sesekali diajak minum kopi untuk berbual serta bertukar fikiran.


Bahkan Tun Mahathir kini adalah penasihat ekonomi kepada empat negeri yang ditadbir Pas, suatu kedudukan yang bermakna jiwa raganya kini sudah bersama parti pimpinan Hadi Awang itu.


Macam mabuk ketum saya cuba memikirkannya, kenapakah dalam mereka diketahui merupakan musuh ketat dan sentiasa mahu mengalahkan UMNO, tetapi masih ada simpati dan tak segan-segan pula memberi cadangan bagaimana caranya agar parti itu dapat dipulihkan semula sokongannya?


Apa yang Bersatu dan Tun Mahathir mahu sebenarnya, masih mahu mengalahkan UMNO atau ingin melihat UMNO pulih semula?


Bukankah sebagai musuh kepada UMNO, Bersatu dan Tun Mahathir seharusnya gembira dengan kedudukan UMNO yang semakin lemah dan ditolak pengundi ketika ini kerana ia memberi lebih peluang kepada mereka untuk menang PRU16 kelak?


Bahkan UMNO sepatutnya digalakkan memeluk DAP dengan lebih erat lagi, dengan demikian barulah potensi lagi besar kemenangan dapat mereka genggam.


Khusus kepada Tun Mahathir, selain beliau merupakan penyumbang utama kepada kehilangan kuasa UMNO sebelum ini dan hasratnya untuk melihat parti itu dibubarkan belum kesampaian, tidakkah dengan kemungkinan UMNO kalah teruk dalam PRU16 akan datang, maka ia lebih mudah untuk dilenyapkan terus?


Tetapi, kenapa mereka sekarang bersimpati?


Apakah Bersatu tidak mahu kepada kemenangan dan Tun Mahathir tidak mahu Pas beroleh kuasa selepas ini, sebaliknya tetap mahukan UMNO disokong semula, seterusnya kembali menerajui negara? – ShahbudinHusin 05/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/05/umno-yang-lemah-sepatutnya-berita-gembira-kepada-bersatu-dan-tun-mahathir.html




No comments: