KERTAS SIASATAN ‘VIDEO WAHAB’ DISERAH KEPADA PEGUAM NEGARA HARI INI, SIAPA BAKAL DIDAKWA?

 

Kertas siasatan berhubung video tular perbualan individu mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), PrifnDr Mohd Agus Yusoff dengan seorang kakitangan jabatan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata seramai lapan individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kertas siasatan itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok (hari ini) selari dengan perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata, individu yang dinamakan sebagai ‘Mr H’, yang didakwa ada kaitan dengan video terbabit juga telah dipanggil sekali lagi hari ini bagi sambungan rakaman percakapan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk mendedahkan identiti ‘Mr H’ kepada umum susulan siasatan masih dijalankan dan ia dikhuatiri akan mengganggu proses itu.

Dalam perkembangan berkaitan pegawai J-Kom yang turut terpalit dalam video tular ini, Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Kajang semalam.

Dr Agus dan Wahab sebelum ini menjadi perhatian ramai berikutan video jelik berdurasi tiga minit yang didakwa adalah perbualan mereka berdua.

Mereka bagaimanapun telah pun mengadakan sidang akhbar dan mendakwa bahawa klip itu telah disunting.

Dalam hal ini, siapakah yang dicadangkan oleh pihak polis dalam kertas siasatan itu yang bakal didakwa?

Adakah ‘Mr H’?

Atau Chegubard yang dilaporkan paling awal menularkan video tersebut di media sosial?

Bagaimana pula dengan Dr Agus dan Wahab?

Apakah mereka juga akan diambil tindakan atau dilepaskan begitu saja? – ShahbudinHusin 01/12/2023.



No comments: