BERANIKAH PN BERJANJI AKAN PINDA PERLEMBAGAAN JIKA BERKUASA, MALAH MULA MELETAKAKKANNYA DALAM MANIFESTO PRU16?


 Isu perlu atau tidak meminda perlembagaan bagi memastikan orang Melayu saja menduduki jawatan Perdana Menteri, menuding jari kepada pihak lain untuk melakukannya bukanlah suatu bentuk penyelesaian yang munasabah.


PN misalnya, mereka tidak perlu menggesa PH melakukan pindaan tersebut kerana gesaan itu jelas difahami berniat jahat dan tidak ikhlas.


Lagi pula, pendirian PH dan lain-lain parti ialah mereka mahu peruntukan sedia ada dikekalkan iaitu sesiapa saja boleh dan berhak menjadi Perdana Menteri.


Tetapi, berserta kefahaman dan kesepakatan, dalam masa yang sama mereka yakin bahawa berdasarkan orang Melayu merupakan penduduk majoriti negara ini, orang Melayu tetap merupakan pilihan utama untuk menjadi Perdana Menteri.


Bermakna, tidak perlu dipinda perlembagaan atau diwajib-paksakan perkara tersebut.


Penyelesaian melalui persefahaman, kesepakatan dan saling memahami adalah bentuk yang lebih harmoni dan itulah yang berlaku selama ini.


Tambahan lagi, sudah 15 kali PRU diadakan di negara ini, tidak pernah terpacul nama bukan Melayu ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri.


Jadi, kenapa kita perlu kecoh dan kelam-kabut?


Dalam hal ini, kiranya PN sepertimana kenyataan beberapa pemimpinnya benar-benar mahu hanya orang Melayu saja boleh jadi Perdana Menteri, adalah lebih baik mereka sendiri yang memperjuangkan perkara itu mulai sekarang.


Kalau mereka mahu perkara itu menjadi kenyataan, merekalah yang mesti memperjuangkannya.


Contohnya, mereka hendaklah mula menabur janji mulai sekarang bahawa jika PN berkuasa atau berjaya memerintah negara suatu hari, maka pindaan itu wajib akan dilakukan.


Dalam PRU16 akan datang, perkara meminda perlembagaan untuk memastikan Melayu saja boleh jadi Perdana Menteri itu pula mesti diletakkan sebagai manifesto utama dan tunjang dalam semua gerakan kempen yang dibentangkan kepada pengundi.


Jika rakyat atau pengundi memberi sokongan, sudah barang tentu PN akan senang-senang beroleh kemenangan dengan majoriti dua pertiga dalam PRU16 akan datang bagi membolehkan pindaan tersebut dilakukan.


Soalnya, beranikah PN berbuat demikian? – ShahbudinHusin 16/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/16/beranikah-pn-berjanji-akan-pinda-perlembagaan-jika-berkuasa-malah-meletakkannya-dalam-manifesto-pru16.html




No comments: