Armada buat laporan polis tengah malam, KDN ucap ‘tahniah’









 Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengucapkan 'syabas' kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Hal itu susulan tindakan Armada Bersatu membuat laporan polis malam tadi berhubung dakwaan wujudnya unsur umpan, habuan dan ugutan ekoran sokongan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Perdana Menteri.


"Saya ucap syabas (Ahli Parlimen) Machang dan Armada bekerja sampai tengah malam untuk buat laporan polis. Hakikat bahawa polis menerima aduan menunjukkan polis profesional.


"Tiada masalah dan tiada beza. Saya ulangi, kesediaan kita ada aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis (membuat siasatan).

"Unsur ugutan? (Siasatan) polis. Habuan, sogokan? SPRM Seksyen berapa? Saya bantu Machang bila buat (laporan SPRM) nanti `quotes’ terus Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM.


"Ia memang kita galakan (melakukan laporan), sebab kalau ada maklumat tetapi tidak lapor itu satu kesalahan juga," katanya menerusi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) membidas Saifuddin Nasution kerana menyatakan tiada sebarang aduan diterima pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.


Kata Ahli Parlimen Bersatu itu, satu laporan polis baru sahaja dilakukan oleh Armada Bersatu berhubung perkara tersebut tengah malam tadi.


Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai Ahli Parlimen pembangkang menyokong Perdana Menteri kemudian didakwa mendapatkan peruntukan sebagai satu rasuah, Saifuddin berkata dakwaan tersebut mesti dibuktikan.


"Dakwaan wujud unsur habuan, umpan bukan ‘affirmative’, hanya dakwaan. Sebab itu, Machang buat laporan polis. Dakwaan tersebut mesti dibuktikan.


"Seperti Hulu Terengganu ‘missed’ masa perbahasan Tambun tempoh hari, undang-undang negara kita sebut adalah peruntukan Perdana Menteri. ‘There is no such thing is’ peruntukan Ahli Parlimen macam kita sedia faham," jelasnya.


Tegas beliau, bagi memastikan isu peruntukan disepakati secara bersama, pihak pembangkang digesa untuk mengikut saranan Perdana Menteri mengadakan perbincangan.


"Tambun berkali-kali menyebut (mengadakan perbincangan). Jadi kerajaan bersedia membuka ruang perbincangan, jadi kenapa (pembangkang) mesti nak prolog benda ini?," soalnya lagi.