SOKONGAN MP BERSATU, WALAUPUN BAIK UNTUK ANWAR, TAPI NAMPAKNYA MERESAHKAN UMNO


Kehadiran satu demi satu sokongan daripada Ahli Parlimen PN mungkin sesuatu yang tidak mampu untuk ditolak oleh Anwar Ibrahim, walaupun realitinya kedudukan majoriti kerajaan perpaduan pimpinannya pada ketika ini boleh dikira sudah cukup stabil.


Yalah, nampak sombonglah pulak jika beliau menolak kehadiran mereka itu, meski disedari kedatangan mereka membawa sokongan itu bukannya percuma.


Peruntukan atau pemberian dana kerajaan adalah tukar ganti yang dihajati kepada sokongan yang diberi.


Bahkan, mungkin ada lagi lain-lain “jajan” turut menyusul kemudiannya.


Dengan Suhaili Abdul Rahman (MP Labuan) memaklumkan beliau telah memperolehi peruntukan untuk kawasannya hanya seminggu selepas mengumumkan sokongan kepada Anwar, ini tentu saja menerbitkan rasa ghairah kepada Ahli-Ahli Parlimen PN yang lain untuk mengambil langkah yang sama.


Sebagai wakil rakyat, siapa tak mahu peruntukan yang dianggarkan RM3 juta setahun?


Lantaran itu, hakikat bahawa ada beberapa Ahli Parlimen PN akan “menyeberang” tanpa membakar jambatan hampir pasti akan berlaku lagi.


Meskipun kehadiran satu demi satu sokongan itu adalah baik kepada Anwar , namun ia nampaknya bukanlah sesuatu yang mengujakan buat UMNO, rakan sekutu paling penting dalam kerajaan perpaduan.


Dalam respon berkenaan peralihan sokongan empat Ahli Parlimen Bersatu kepada Anwar setakat ini, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi jelas hanya memberi reaksi “suam-suam kuku” saja mengenainya.


Katanya, UMNO tidak boleh mengambil sikap terlalu selesa dengan tindakan tersebut kerana mereka adalah Ahli Parlimen yang berjaya mengalahkan calon BN pada PRU15 lalu.


“Ia adalah satu perkara berlainan kerana mereka adalah Ahli Parlimen (pembangkang).


“Mereka ini adalah Ahli Parlimen, yang mana calon BN tak cukup jumlah undi untuk menang di kerusi itu di mana kita berada pada kedudukan yang kedua,” katanya.


Menurut beliau lagi, walaupun sokongan beberapa Ahli Parlimen Bersatu kepada kepimpinan Anwar merupakan perkembangan baharu yang baik kepada kerajaan, namun kata Zahid Hamidi, UMNO berpendirian kerusi itu perlu menjadi milik UMNO semula sekiranya perkembangan terbaru politik ini diambil kira sebagai landasan untuk bergerak ke hadapan.


Terlihat ada maksud tersirat yang dalam di sebalik yang tersurat daripada kata-kata Zahid Hamidi itu.


Ahli MT UMNO, Ahmad Maslan pula dilihat sependirian dengan Mahiaddin Md Yasin tentang perlunya akta lompat parti dikaji semula dan ditambah baik susulan sokongan empat Ahli Parlimen PN kepada Anwar itu.


“Amat janggal bila mana Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada kerajaan namun ia tidak membawa kesan kepada kedudukan kerusi mereka.


“Selain itu, amat janggal bila seseorang Ahli Parlimen pembangkang yang berlawanan dengan parti mereka tetapi dalam masa sama masih berada dalam kelompok pembangkang.


“Oleh itu kejanggalan berkenaan perlu dilihat semula melalui pindaan tertentu.


“Akta lompat parti perlu diperhalusi semula kerana sebelum ini kita tidak pernah berhadapan situasi sebegini, ia perkara baharu, maka saya harap akta ini akan diperbaiki atau dipinda selepas ini,” katanya lagi.


Baik melalui reaksi Zahid Hamidi, mahu pun Ahmad Maslan, adalah jelas nada mereka berdua tidak begitu gembira dengan perlembangan yang berlaku kebelakangan ini.


Mengapa UMNO dilihat tidak gembira, malah semacam resah?


Apakah UMNO resah kerana bimbang dengan tindakan Ahli Parlimen Bersatu yang mengalih sokongan itu akan menjejaskan harapan mereka untuk merampas balik kawasan-kawasan tersebut pada PRU16 akan datang? – ShahbudinHusin 13/11/2023.



No comments: