TUJUAN POLITIK ISLAM TEGAKKAN KEADILAN, BUKAN KHURAFAT PERKAUMAN


 

Kebanyakan ahli politik Islam pembangkang yang konon memperjuangkan politik Islam tidak faham tujuan politik yang mereka ceburi selain untuk mendapatkan gaji atau pengaruh apabila menang dan menjadi wakil rakyat.

Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu (Intelek Terengganu), Ahmad Nadhir Yob, politik Islam sebenarnya amat dekat dengan beberapa bidang keilmuan Islam yang mendasari tujuan sebenar seseorang itu berpolitik.

Bukan, katanya untuk menghukum, melabel atau merendahkan pengikut parti politik yang tidak sejalan dengan aideologi perjuangan mereka.

“Apabila kita berbicara mengenai etika dan garis panduan serta intipati politik Islam, majoriti sebenarnya masih keliru dan tidak mengetahui apakah perkara yang utama yang dianjurkan oleh etika politik Islam

“Tidak dinafikan politik merupakan sebuah disiplin ilmu yang sangat rentan di dalam tradisi keilmuan Islam sepertimana ilmu tasawuf. Ia mudah untuk bercampur dengan perkara-perkara palsu dan khurafat sehingga menghilangkan keaslian ilmu itu sendiri.

“Jika kita menyelusuri asas kepada etika politik Islam ia adalah perjuangan menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memetik firman Allah S.W.T di dalam Surah An Nisa ayat 135 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapamu dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Maha teliti terhadap segala apa yang kamu kerjakan.

Ayat tersebut, kata Ahmad Nadhir menjadi bukti bahawa tujuan utama politik di Islam ialah untuk memastikan bahawa keadilan terpelihara dan ditegakkan

“Dalam konteks politik Malaysia, bagi memelihara keadilan untuk semua lapisan masyarakat, kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan di mana kita mesti memastikan bahawa setiap perkara di dalam Perlembagaan itu dipatuhi, diamalkan dan dipertahankan. Ini juga selaras dengan kaedah manusia itu tertakluk kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui.

“Begitu juga untuk memelihara keadilan, kerajaan juga harus memastikan bahawa sistem kehakiman negara bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Kita harus mempertahankan sistem kehakiman agar ia menjadi satu institusi yang menjadi tonggak kepada keadilan di negara kita,” katanya.

Seterusnya, Ahmad Nadhir menjelaskan, setiap daripada anggota masyarakat harus mengangkat sistem pentadbiran yang mempunyai tatakelola yang baik, dan juga memastikan bahawa budaya rasuah dapat dikekang.

Rasuah, katanya, merupakan satu perbuatan yang menghalang daripada keadilan itu ditegakkan, justeru itu rasuah mesti diperangi secara bersungguh-sungguh

“Inilah tiga keutamaan yang perlu difahami dan juga dilaksanakan terlebih dahulu di dalam konteks Malaysia yang kita cintai ini.

“Pemahaman yang betul di dalam politik Islam perlu kerana apabila kefahaman yang salah timbul ia akan menatijahkan kezaliman dan mematikan tujuan asal politik di dalam Islam,” katanya lagi.



No comments: