DAP TOLONG MUDA, DIGELAR HIPOKRIT, TIADA PRINSIP







 Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman dianggap telah melampaui batas apabila menggelar DAP sebagai ‘lapdog’ atau anjing ribaan, hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip dalam kenyataannya di media sosial.

Bagi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Howard Lee Chuan How, tindakan Syed Saddiq itu diibarat tidak mengenang budi memandangkan pada tahun lalu DAP telah membantu parti berkenaan dengan mengorbankan kerusi DUNnya memberi laluan calon Muda bertanding.

“Syed Saddiq secara spesifik telah menyerang Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dengan panggilan ‘puppet’ (boneka) yang kononnya telah menyucikan seseorang yang korup; semata-mata kerana jawatan berstatus Menteri.

“(Perlu diingatkan) DAP sebagai parti yang berprinsip dan rakan setia yang telah menyokong dan membantu Syed Saddiq dan partinya di puncak gunung mahupun jauh ke dalam lurah, parti ini telah dan masih memberi khidmat guaman dan solidariti tanpa belah bahagi kepada dia sewaktu dia sendiri dituduh dengan kes pecah amanah.

“Seharusnya Syed Saddiq lebih wajar bermuhasabah diri dan renung-renunglah ke cermin sekali sekala,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Howard Lee, Ahli Parlimen Muar itu perlu menumpukan kes mahkamah beliau sendiri sebelum bersikap kurang ajar kepada mana-mana parti dan mencari publisiti murahan melalui komentarnya.

Katanya, apakah yang ahli parti Muda fikir sekiranya selepas ini Syed Saddiq pula dilepas tanpa bebas (DNAA) dalam kes beliau yang sedang dibicarakan.

“Sekiranya kes pecah amanah dia sendiri juga turut diberi DNAA? Adakah parti dia sendiri juga akan tergolong ‘lapdog’, hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip kerana mempunyai seorang presiden sebegitu rupa?

“Sebagai pimpinan politik, Presiden parti sekutu di dalam Kerajaan Perpaduan, gelagat melatah seperti ini tidak membawa apa-apa nilai tambah kepada Parti Muda.

“Politik gelar-menggelar ini terang-terangan suatu politik nafas lama (yang beliau sendiri kritik), jauh menyimpang daripada nilai-nilai politik baharu yang diperjuangkan Muda,” katanya.

Tegas Bendahari DAP Perak, DAP melalui Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook telah memberikan kenyataan yang jelas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan 47 kes yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di mana parti itu menghormati proses dan keputusan mahkamah tetapi pada masa sama demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, menuntut penjelasan terbuka oleh Peguam Negara.

“DAP juga menegaskan akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.

“Kenyataan dan pendirian DAP sentiasa memberi penegasan bahawa parti ini bukanlah ‘lapdog’, hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip seperti yang didakwa oleh Syed Saddiq dan Muda.

“Teguran oleh Nga Kor Ming juga bukanlah satu ‘penyucian orang korup’. Nga sebaliknya meminta Syed Saddiq untuk lebih profesional dan berbincang dengan pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan, bukannya membuat kenyataan melulu dan mengugut untuk menarik sokongan,” katanya.

Malah kata Howard yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor itu, ahli parti Muda sendiri merasakan tindakan Syed Saddiq tersebut di luar tabiat. Ramai yang tidak sebulu dan ada ahli parti Muda yang menuntut beliau memadamkan kenyataan tersebut dan meminta maaf.

“Kendatipun begitu, gendang perang nampaknya sudah dipalu. Keceluparan dan penghinaan yang dilontarkan ibarat sudah membakar semua jambatan yang ada. Syed Saddiq dan parti Muda kini ibarat api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan parasit dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mungkin sudah tiba masanya Syed Saddiq dan parti Muda membuat ketetapan yang tegas dan tidak lagi bermain tarik tali. Gagahkan diri; umum sahaja menarik diri dari kem Kerajaan Perpaduan supaya boleh dipindahkan satu kerusi dalam Dewan Rakyat ke belah Pembangkang

“Saya yakin dengan penarikan sokongan dan hilangnya Muda dari dalam Kerajaan Perpaduan, kita akan lebih mudah fokus. Tugasan kita dalam membina negara dan menjaga kebajikan rakyat akan lebih senang kerana tidak ada lagi keperluan untuk melayan kerenah ‘kebudak-budakan’ sesetengah individu dan parti,” katanya lagi.