SUDAH SAMPAI MASA TINDAKAN TEGAS PERLU DIAMBIL TERHADAP HADI AWANG


Menurut laporan, Presiden Pas, Hadi Awang sekali lagi dipanggil ke Bukit Aman untuk disiasat dan diambil keterangan berhubung ucapannya ketika berkempen dalam PRK Simpang Jeram, Johor yang sedang berlangsung sekarang ini.


Kali ini siasatan itu berkaitan ucapannya yang mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.


Hadi dilaporkan berkata, kuasa Lembaga Pengampunan yang ada negara ini adalah tidak selari ajaran Islam.


Kata beliau, pihak yang sepatutnya berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah dan bukannya Lembaga Pengampunan.


Sebelum ini, Hadi juga pernah dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis susulan kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman mengenai amalan rasuah di negara ini.


Kita tentu faham apabila Hadi mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan, sasarannya tidak lain ialah terhadap Anwar Ibrahim yang telah diberi pengampunan oleh lembaga tersebut pada 2018 lalu.


Terlihat Hadi benar-benar tidak puas hati dan sakit hati terhadap Anwar yang kini telah berjaya menjadi Perdana Menteri sekarang ini.


Tidak cukup dengan setiap hari meratib kerajaan perpaduan pimpinan Anwar akan tumbang bila saja ada isu yang timbul seperti ketika PRN atau PRK yang sedang berlangsung di Johor sekarang, beliau kini nampaknya cuba mempertikaikan status pengampunan yang diterima Anwar pula.


Tujuannya ialah semata-mata untuk menggambarkan Anwar tidak layak memegang jawatan Perdana Menteri kerana tidak pernah diampunkan oleh keluarga mangsa yang terkait jenayah dengannya.


Relakslah Tuan Guru…seorang yang tinggi agama kena selalu bersangka baik, berjiwa tenang dan tidak bersarang dengki yang keterlaluan dalam hatinya.


Disebabkan sakit hati dan bencinya yang keterlaluan itu, Hadi sampai tidak sedar bahawa tindakannya mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan itu bermakna beliau sedang mempertikaikan kuasa Yang Dipertuan Agong yang mengetuai lembaga itu.


Di peringkat negeri, Lembaga Pengampunan juga diketuai oleh Sultan atau Raja masing-masing.


Dengan itu, ucapan Hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan tersebut, selain petanda tidak hormat kepada Raja-Raja, juga melanggar garisan merah 3R yang dilarang oleh pihak polis daripada sesiapa juga memperkatakannya secara terbuka.


Adakah Hadi dalam hal ini sengaja mahu mencabar polis?


Kalau Hadi mahu menjatuhkan Anwar atau kerajaan sekarang dek kerana benci atau sakit hatinya yang tak terkawal dengan keberadaan Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri, beliau sebaiknya banyakkan beristighfar dan percaya kepada Qada dan Qadar.


Tidak perlulah hari-hari memanjat dinding untuk menebuk atap bagi menjatuhkan kerajaan, sebaliknya tunggu saja PRU16 akan datang untuk berbuat demikian.


Ketika berucap pula, janganlah tunjukkan sangat perasan sakit hati dan benci kepada Anwar itu, buat malu dengan anak cucu saja dibuatnya.


Apa pun, meneliti tingkah laku dan ucapan politik Hadi sejak daripada dulu hingga sekarang, banyak daripadanya adalah bersifat melampau, merbahaya kepada perpaduan dan boleh dikira sebagai suatu ancaman kepada Malaysia yang aman, sejahtera dan harmoni.


Daripada Amanat Hadi yang kontroversi hinggalah kepada banyak tafsiran agama yang dibuatnya lebih bermotifkan politik kepartian dan bertujuan menyemai kebencian terhadap mereka yang tidak sejiwa, sekarang pula dengan mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong, ini adalah petanda beliau kini semakin bahaya jika perbuatannya dibiarkan terus berleluasa.


Hanya kerana politik, benci dan sakit hati, Hadi nampaknya sanggup melakukan apa saja demi memuaskan rasa dalam hatinya.


Tanpa kompromi lagi, sudah sampai masa sebenarnya untuk pihak berkuasa mesti mengambil tindakan sewajarnya terhadap Hadi agar perbuatan dan ucapannya yang sering melampau serta merbahaya itu terhenti setakat ini saja. – ShahbudinHusin 27/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: