SUHAIZAN MAHU SELESAIKAN MASLAH KECICIRAN PELAJAR DI PULAI


 Hari pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P161 Pulai, calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kaiat menawarkan kepada pengundi di Taman Bukit Mewah, Johor Bahru untuk menyelesaikan masalah keciciran pelajar di kawasan tersebut.

Bercakap dalam satu ceramah memperkenalkan calon, beliau bertekad bahawa semua pelajar sekolah menengah akan mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memudahkan perjalanan pendidikan mereka seterusnya.

“Saya akan beri penekanan tentang tentang pendidikan. Mungkin ada anak kita tercicir dalam pelajaran. Saya dua, tiga bulan lepas telah merancang anak anak yang tecicir atau bakal tercicir kita kumpul mereka, kemudian beri motivasi supaya mereka masuk SPM. Dalam peperiksaan itu sekurang kurangnya lulus Bahasa Melayu untuk melayakkan mereka dapat sijil.

“Kita tidak mahu anak anak terus tercicir dan tidak mendapat sijil,” katanya.

Selain isu sijil SPM beliau juga meminta masyarakat melaporkan kemiskinan tegar di kawasan masing masing yang dijanjikan oleh Perdana Menteri akan cuba diselesaikan pada tahun ini.

Suhaizan juga membayangkan penyelesaian kepada kos sara hidup tinggi yang bakal dicapai pada waktu jangka sederhana dengan polisi kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam dan swasta.

“Bahan makanan tertentu ada yang tidak boleh dikawal kerana berkaitan pasaran (dari luar negara). Apa yang boleh kita laksanakan ialah meningkatkan gaji rakyat.

“Kerajaan bersungguh berusaha untuk meningkatkan gaji. Bila gaji meningkat maka akan ada kuasa beli yang lebih tinggi dan mereka boleh berbelanja.

“Ini formula baru yang kita nak laksanakan,” katanya yang mahu pengundi di Pulai menyokong Kerajaan Perpaduan untuk memudahkan setiap masalah diselesaikan.

Mantan Speaker DUN Johor itu juga memberitahu hubungan akrabnya dengan Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub dan dilantik sebagai Setiausaha Politik Salahuddin di kementerian KPDN serta mengimbau beberapa bulan lalu diamanahkan oleh Allahyarham untuk menjaga kawasan Pulai.

Suhaizan dalam penamaan calon semalam mendapat nombor 3 di kertas undi. Pada PRK 9 September ini beliau ditentang oleh calon PN dan Bebas.



No comments: