Selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 buah negeri Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar terus bekerja bagi memulihkan semula negara.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Anwar memaklumkan bertemu
beberapa pelabur terkemuka di Putrajaya pada Selasa bagi meneroka peluang
pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama
Pertemuan itu merupakan sebahagian ikhtiar Kerajaan Perpaduan untuk
merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam
Ekonomi MADANI.
"Kebijakan Ekonomi MADANI adalah sebuah kerangka wahana yang
jelas dan komprehensif bagi memungkinkan sebuah tatanan (sistem) ekonomi negara
yang mampan dan terangkum sebagai usaha dan upaya kerajaan dalam meningkatkan
tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
"Visi ini menekankan peri penting penyertaan sektor swasta
dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak daya inovasi dan juga
mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi," kata
beliau yang juga Menteri Kewangan.
Perjumpaan itu disertai beberapa pelabur yang berpengaruh di
peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan
ekonomi serta syarikat yang berjaya.
Antaranya pengasas bersama laman Facebook Eduardo Saverin dan
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital Raj Ganguly, Pengasas WM Partners
Alejandro Weinstein serta Pengasas European Venture Funds Peter Kadas.
Mengulas lanjut pertemuan itu, Anwar berkata, perjumpaan yang
pertama seumpama itu membuka peluang untuk beliau dan pelabur terbabit
berkongsi pandangan serta meneroka kerjasama bagi mencapai matlamat ekonomi
negara.
Kehadiran mereka jelasnya bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap
Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara malah membuktikan Malaysia
mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
"Perbincangan turut menyentuh soal peluang bagi meneroka
pelaburan dalam sektor utama seperti teknologi dan inovasi, tenaga yang boleh
diperbaharui, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta hospitaliti, dan
pembuatan," katanya.
Selain itu, sesi berkenaan turut berkisar mengenai usaha memupuk
persekitaran bagi menggalakkan pelaburan langsung asing, memperkemas peraturan
dan proses serta meningkatkan tatakelola selain memastikan kemampanan jangka
panjang selain menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dan pertumbuhan
inklusif dengan komitmen untuk mengutamakan inisiatif yang memberi manfaat
kepada masyarakat tempatan serta menyumbang kepada agenda pembangunan mampan.
"Kerajaan akan berterusan menyediakan persekitaran mesra
pelabur yang memupuk inovasi, melindungi harta intelek serta menggalakkan
kerjasama antara sektor awam dan swasta.
"Saya turut membuka ruang untuk para pelabur mengenal pasti
peluang pelaburan yang sejajar dengan matlamat strategik di samping memenuhi
keperluan masyarakat.
"Ini merupakan asas untuk potensi kerjasama dan pelaburan
yang akan memberikan manfaat ekonomi yang besar untuk Malaysia dan
rakyatnya," katanya