Menteri tidak terlibat tender: Jabatan Penjara pertahan Saifuddin



Jabatan Penjara Malaysia menafikan fitnah jahat terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dituduh terbabit dalam urusan tender pembekalan kain bagi jabatan itu



Melalui satu kenyataan, Jabatan Penjara menegaskan semua perolehan perkhidmatan dan pembekalan dilaksanakan melalui Sistem e-Perolehan bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan tender kerajaan.



"Tender pembekalan kain ini juga tertakluk kepada peraturan kewangan ditetapkan dan semua syarikat dibawa ke Lembaga Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pertimbangan melepasi tiga peringkat penilaian.



"Ia membabitkan peringkat Jawatankuasa Pembuka Tender, Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Kewangan," katanya dipetik.



Kenyataan itu merujuk maklumat yang tular di media sosial mendakwa kononnya syarikat yang gagal dari segi teknikal dan kewangan, mendapat tender pembekalan kain di Jabatan Penjara Malaysia kerana menggunakan 'kabel' Saifuddin.



Tambah kenyataan itu, Lembaga Perolehan KDN untuk tender itu bersidang hanya sekali sahaja iaitu pada 10 Julai lalu untuk memuktamadkan syarikat pembekal yang berjaya.



"Oleh itu, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam urusan tender ini," katanya.

 

 

No comments: