Kerajaan Perpaduan Tidak Tergugat: Anwar Selesa Terajui Negara


 Oleh: Noraini Nordin



ANALISIS: Meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudah berakhir namun perbualan rakyat terbanyak mengenainya masih jauh daripada menemui titik perhentian.



Pelbagai ulasan, analisis dan kesimpulan masih kedengaran di mana-mana dan dalam bentuk yang bagaimana, bergantung kepada kecondongan pemikiran seseorang itu mengupasnya.



Apa pun, di sebalik PN berhajat besar mahu menjadikan PRN yang baru berlalu sebagai referendum kepada kerajaan perpaduan, ia akhirnya ternyata gagal dan tidak membuahkan kejayaan.



Kejayaan kerajaan perpaduan mempertahankan tiga negeri yang ditadbirnya iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah suatu berita pedih buat PN.



Di sebalik gembar-gembur sebelum itu kononnya PM mampu menawan Selangor dan Negeri Sembilan, kini semuanya terbukti hanya mimpi belaka.



Pas pemenang di tiga negeri



Sementara PN turut berjaya mempertahankan tiga negerinya - Kelantan, Terengganu dan Kedah - tetapi yang benar-benar menang di ketiga-tiga negeri itu adalah Pas, bukan Bersatu.



Hal ini kerana Pas secara bersendirian pun mampu memenangi tiga negeri berkenaan ditambah pula Perlis.



Dengan berakhirnya PRN yang merupakan pelengkap kepada PRU15 lalu, pentadbiran negeri-negeri kini sudah diisi sepenuhnya.



Ia memperlihatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kekal menerajui kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.



Walaupun Wilayah Persekutuan tiada kerajaan negeri, tetapi dengan majoriti Ahli Parlimennya adalah daripada PH dan Jabatan Wilayah Persekutuan terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, secara tidak langsung bermakna Wilayah Persekutuan adalah negeri keempat dalam kawalannya.



Pemimpin BN pula menerajui Perak, Pahang, Johor dan Melaka, manakala GPS di Sarawak serta GPS di Sabah.



Bersatu dalam hal ini langsung tidak memiliki walau satu pun Kerajaan Negeri.



Kekukuhan pentadbiran Anwar



Dengan Kerajaan Perpaduan secara keseluruhannya mentadbir 10 negeri dan Pas empat negeri, apa lagi mahu dinafikan tentang kekuatan serta kekukuhan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang ada ini?



Di samping tiga negeri berjaya dipertahankan dalam PRN lalu, undi popular di enam negeri terbabit pula menunjukkan Kerajaan Perpaduan berada di hadapan dengan undi berjumlah 3,399,472 berbanding 3,382,466 yang diperolehi PN.



Ini bermakna, undi popular Kerajaan Perpaduan adalah 17,006 jauh lebih tinggi melebihi PN.

Kalau mahu dikatakan PRN itu adalah referendum, tidakkah ia memperlihatkan bahawa rakyat di enam negeri itu sebenarnya menyebelahi Kerajaan Perpaduan dan menolak PN?



Gagal dalam referendum dan gagal menawan negeri-negeri PH-BN, tidak cukup lagikah untuk dinamakan kegagalan buat PN dan sekaligus suatu kejayaan bagi Kerajaan Perpaduan?



Di waktu yang sama, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan juga tidak berubah daripada kekuatan majoriti dua pertiga atau 148 daripada 222 yang sedia dimiliki sejak awal lagi.



PRN sama sekali tidak mengubah atau menggugat sokongan Ahli-Ahli Parlimen kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.



Paling mudah difahami dalam hal ini, PMX sebenarnya tetap selesa menerajui negara ini sehingga PRU16 pada tahun 2027 akan datang.

 

No comments: