Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan akan mengumumkan pelaburan berjumlah RM25 bilion.
Melalui satu hantaran di Twitter, Ahli Parlimen Pandan itu
memaklumkan, pengumuman tersebut yang akan dibuat hari ini akan membuka
sehingga 23,000 peluang pekerjaan yang bergaji tinggi buat rakyat negara ini.
"Tujuh bulan PN (Perikatan Nasional) mainkan isu kononnya
Kerajaan Perpaduan perintah tidak ada pelaburanlah, prestasi ekonomi
merudumlah.
"Kami di Kerajaan Perpaduan akan terus hasilkan
program-program ekonomi yang berimpak tinggi untuk kesenangan rakyat,"
katanya dalam satu hantaran di Twitternya pada Rabu.
Berdasarkan hantaran tersebut Rafizi dijangka mengumumkan
pelaburan itu ketika acara pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara
(NETR) petang ini.
Menurutnya di sebelah pagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar
Ibrahim akan terlebih dahulu melancarkan kerangka Ekonomi Madani.
Kedua-dua rancangan tersebut akan menerangkan hala tuju ekonomi
Malaysia untuk dekad ini selain untuk menarik pelabur, jana peluang kerjaya
yang bernilai tinggi, dan meningkatkan pendapatan rakyat.
"Yang penting kami akan selesaikan masalah harian rakyat
supaya kita tidak mengulangi kelemahan-kelemahan lalu, yang kaya bertambah
kaya, yang miskin papa kedana.
"Itulah tugas mana-mana kerajaan iaitu ada idea, cari
penyelesaian dan terus bertindak," ujarnya sambil menegaskan kesepaduan
dan kepelbagaian parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan akan terus
mengutamakan dasar-dasar pro rakyat.