Malaysia perlu capai tahap sara diri pengeluaran beras







 Tempoh enam tahun akan datang menjadi tempoh cukup kritikal untuk Malaysia mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia berikutan risiko negara pengeksport seperti India untuk mengurangkan atau menghentikan eksport makanan ruji itu bagi melindungi pasaran domestik masing-masing.


Justeru jelasnya, penting untuk pesawah-pesawah memahami keperluan meningkatkan hasil padi negara bagi memastikan rakyat tidak terkesan sekiranya apa yang dijangkakan itu benar-benar berlaku.


"Di pihak kerajaan, kita perlu mengambil tindakan segera menambah baik input pertanian padi dan infrastruktur sedia ada dalam sektor perladangan padi dan mengamalkan amalan petani Sekincan ke negeri lain.


"Kerajaan juga bercadang memperuntukkan RM3 bilion bagi menambah baik infrastruktur di bawah MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) bagi memperluaskan lima musim penanaman dalam setiap dua tahun," katanya.


Mohamad sebelumnya hadir menyampaikan bantuan tunai kepada pesawah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar di Alor Setar, semalam.


Dalam pada itu, Mohamad berkata projek perintis lima penanaman padi dalam tempoh dua tahun sudah dilaksanakan di 213 hektar sawah padi di bawah MADA.


Manakala pertanian ala Sekinchan sudah diperkenalkan di 187 hektar sawah padi di Sik dan Kerpan di Kedah, selain Simpang Empat di Perlis dan Besut di Terengganu.


Susulan itu beliau berharap petani lain akan menyertai projek itu selepas melihat kisah kejayaan petani yang menyertai projek perintis.


"MADA akan membabitkan diri dengan petani untuk mendidik dan memotivasikan mereka untuk mengamalkan teknik pertanian moden.


"Saya percaya jika kita mampu meningkatkan hasil padi tahunan dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang, kita akan dapat mencapai 80 peratus pengeluaran untuk memenuhi permintaan dalam negeri," katanya.


No comments: