Perbezaan dan perpecahan membawa kepada persengketaan dan polarisasi- PART 2



CARTOON BY ZUNAR


Di Malaysia, kita juga telah mempergunakan perkauman terlalu lama. Ia adalah laluan mudah untuk memenangi pilihan raya, tetapi tahap kepimpinan yang dihasilkan cukup lemah. Negara ini telah melahirkan kleptokrat yang terkenal di seluruh dunia, dan rasuah menjadi endemik.

Perpecahan tetap akan memecahkan kita, dan hari ini kaum Melayu pun sudah berpecah-belah – akibat dipergunakan sentimen kaum dan agama sebagai isu untuk meraih undi dan bukannya untuk ditumpukan kepada kesejahteraan semua rakyat.

Umno tidak lagi bersatu, begitu juga Bersatu, sebuah lagi entiti politik Melayu. Nama cukup hebat, tetapi kosong dalam soal pencapaian mereka. Kita sedang menipu diri sendiri untuk percaya bahawa Barisan Nasional masih penting, saatnya MIC dan MCA sendiri menarik diri daripada pilihan raya negeri. Pengakhiran mereka sudah hampir.

Kita tidak boleh membina masyarakat yang bersatu padu dengan mempergunakan isu identiti. Kepelbagaian adalah realiti dalam dunia global hari ini. Isu-isu yang perlu ditangani segera ialah cabaran asas yang dihadapi oleh orang ramai: kesihatan, pendidikan, pekerjaan, gaji hidup. Mereka yang berkuasa perlu memastikan keperluan asas ini dipenuhi.

Kita menyaksikan dalam Malaysia sendiri, wujud jurang perbezaan pembangunan ekonomi yang berbeza-beza dari negeri ke negeri. Infrastruktur logistik, pelabuhan, pengangkutan dan jalan raya semuanya penting untuk pembangunan, dan ini harus menjadi tumpuan.

Namun, ahli politik kita hanya menghabiskan banyak masa mereka untuk menunggang kaum dan agama. Sebagai ‘juara’ isu kaum dan agama, mereka hanya memperkayakan diri dan merosakkan negara.

Sifat rasuah yang mengakar adalah realiti yang tidak boleh diketepikan. Walaupun terdapat citra keagamaan yang melebih-lebih, namun hanya sedikit kualiti serta ciri kepimpinan yang boleh merungkai permasalahan mengikut keperluan negara.

Ramai ahli politik kita memainkan isu yang memecahbelahkan. Mereka langsung tiada idea. Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk merumuskan penyelesaian progresif kepada cabaran negara. Pemahaman mereka tentang Islam bukanlah bersifat maju dan mencitrakan keadilan.

READ MORE:  Malaysia facing a decline in reasoning its faith?

 

Sekurang-kurangnya, di bawah “kerajaan perpaduan” sekarang, kita mendengar nada terangkum dari pimpinan. Walaupun ahli politik barangkali masih bermain wayang, ia sedikit melembutkan hati untuk mendengar suara menjurus kepada keterangkuman.

Pakatan Harapan adalah gabungan pelbagai etnik yang mementingkan keadilan, demokrasi dan kesaksamaan. Masa depan adalah gabungan politik yang terdiri daripada pakatan politik yang berbeza melibatkan parti ultra serta parti yang sederhana. Ini akan memaksa parti politik bekerjasama.

Pembaharuan institusi seharusnya terus berada dalam agenda, dan akhirnya, ia akan menghakis cengkaman etnik dan agama pada para pengundi. Jika tidak, kita akan kekal sebagai masyarakat yang berpecah-belah.

Matlamat kami adalah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu yang menghormati kepelbagaian dan menjunjung nilai-nilai murni yang terdapat dalam semua agama, agar perpaduan dan keyakinan dapat diilhamkan.

Kita memerlukan ahli politik yang boleh menyatukan rakyat, mengatasi perbezaan dan menetapkan sasaran bagi memastikan masyarakat bergerak ke arah yang sama. Usaha memenuhi keperluan semua orang akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara. Kita tidak boleh membina masyarakat yang manusiawi tanpa pertimbangan kemanusiaan.

Hari ini, kita adalah masyarakat yang berpecah-belah walaupun wujud laungan berkisar soal Rukun Negara, Wawasan 2020, Keluarga Malaysia dan Satu Malaysia. Kita berharap agar Malaysia Madani tidak akan menghadapi nasib yang sama kerana, jika ia menjadi begitu juga, kita akan terlepas peluang sekarang untuk membuat perubahan.

Kita memerlukan dasar tindakan menyeluruh yang baharu bagi menumpukan usaha perpaduan melibatkan semua. Ini harus dicerminkan dalam perkhidmatan awam, dalam pasukan pertahanan, dalam pendidikan dan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Dasar sedemikian akan menghantar isyarat kepada semua orang di Malaysia bahawa mereka penting, dan tanggungjawab itu diberikan kepada semua.

Sebuah jawatankuasa perundingan boleh menangani agenda ini saatnya kita memandang ke hadapan.

K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Julai 2023

Terjemahah oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.