Rang Undang Undang (RUU) Keselamatan Siber akan digubal dalam
tempoh terdekat bagi meningkatkan keselamatan urusan perekonomian siber di
negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia harus
menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh
jentera Kerajaan menangani ancaman keselamatan siber apatah lagi setelah
pelabur asing bersetuju melabur sejumlah RM8 bilion dalam industri digital
negara baru baru ini.
"Perihal ini menjadi keutamaan bukan sahaja di dalam negara
tetapi turut mencakup ehwal yang lebih besar di peringkat global kerana alam
siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek kehidupan.
"Justeru Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara
sepakat agar suatu Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera untuk
memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.
"Saya menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan
negara termasuk di dalam domain digital dan eko-sistem siber," katanya
dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata Agensi Keselamatan Siber Negara,
Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi
tonggak untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan
serta pihak industri di dalam hal berkenaan.
"Entiti dalam eko-sistem siber akan terus mengekalkan kuasa
yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.
"Pada masa yang sama, fungsi tugas beberapa entiti teras
berkaitan keselamatan siber juga akan diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan
fungsi dan memaksimakan kecekapan," katanya.
RUU Keselamatan Siber, kata Anwar lagi, akan memberi NACSA, MKN
punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan
undang-undang berkaitan keselamatan siber serta menambah baik keberkesanan
fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN
No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber
Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS).