ISU LEBIH POKOK, UNTUK APA ZAHID HAMIDI DEDAH PERTEMUAN SEJAM SETENGAHNYA DENGAN NAJIB SECARA TERBUKA?

 

Akhirnya Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail tampil menjelaskan bahawa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi telah diberi kebenaran khas untuk melawat, membawa sejumlah makanan dan kemudian menjamu selera secara bersama sambil sembang-sembang selama satu jam setengah dengan Najib Razak di Penjara Kajang.

Kebenaran khas tersebut, kata Saifuddin, diberikan mengikut Peraturan 86 dan Peraturan 99 dalam Peraturan-Peraturan Penjara 2000 yang turut melibatkan kebenaran membawa makanan serta tempoh pertemuan berlangsung.

“KP (Komisioner Jeneral) Penjara maklumkan pada saya… (justeru) saya tau.

“Prosedur seterusnya (untuk kebenaran khas tersebut) ialah oleh KP Penjara. Yang penting dia maklumkan kepada saya, saya maklum.

“Soal bagaimana dia maklumkan dan sebagainya – itu hanya prosedur,” tambah beliau.

Belum pun setahun tempoh kerajaan perpaduan ini wujud, ini sudah kali kedua Zahid Hamidi memperolehi “keistimewaan” daripada Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh Saifuddin.

Kali pertama, apabila Saifuddin pada 7 Mac lalu memaklumkan kementeriannya telah memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang dipohon parti itu.

Pengecualian itu adalah berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan yang mrmbolehkan menteri menggunakan kuasa budi bicara bagi mengecualikan sesebuah pertubuhan daripada mana-mana peruntukan di bawahnya.

Yang terbaru dan kali kedua pula, Zahid Hamidi diberi kebenaran khas melawat, membawa sejumlah makanan kegemaran Najib, kemudian makan bersama sambil sembang-sembang secara empat mata selama satu jam setengah dengan bekas Presiden UMNO yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun itu.

Sebagaimana didedahkan Zahid Hamidi dalam ucapannya di PAU2023 baru-baru ini, beliau memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan Najib selama satu setengah jam di Penjara Kajang dengan diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah di mana sebelumnya mereka bertiga telah berjumpa selama setengah jam lamanya.

Ertinya secara keseluruhan, perjumpaan Zahid Hamidi yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan masih merupakan tertuduh dalam kes pecah amanah, rasuah serta penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi dengan Najib selaku orang yang sedang menjalani hukuman penjara ialah selama dua jam.

Hebat…hebat…hebat….

Begitu pun, berikutan penjelasan Saifuddin bahawa Zahid Hamidi telah diberi kebenaran khas untuk pertemuan dengan Najib itu, ia tidaklah ada kesalahan apa-apa dari segi undang-undang.

Kata orang, ada kuasa semua perkara boleh jadi beres belaka.

Cuma, beberapa persoalan lain timbul susulan lawatan Zahid Hamidi yang diberi kebenaran khas itu, terutama untuk apa beliau mendedahkannya secara terbuka di depan perwakilan UMNO?

Kenapa tidak beliau merahsiakan saja pertemuan itu, lebih-lebih lagi sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi tentu tahu bahawa mengunjungi banduan sambil membawa semua makanan kegemaran Najib dan tempoh lawatan empat pula berlaku selama satu jam setengah, ia bukanlah suatu amalan yang biasa?

Adakah Zahid Hamidi ingin menunjukkan beliau seorang yang amat berkuasa dan boleh melakukan apa saja dengan jawatan serta kedudukannya alam kerajaan perpaduan ini?

Adakah beliau ingin memberitahu perwakilan UMNO betapa bersungguhnya dia dalam membela dan mahu membebaskan Najib?

Sebaliknya, di kalangan rakyat marhaen biasa, pertanyaan yang berbangkit ialah bolehkah mereka juga diberikan keistimewaan seperti diberikan kepada Zahid Hamidi itu jika mereka ada keluarga atau kenalan yang sedang ditahan di mana-mana penjara?

Apa pun, yang pastinya, kelakuan Zahid Hamidi itu tidak memberi imej serta gambaran yang baik kepada kerajaan perpaduan, bahkan memberi peluru tambahan kepada pihak pembangkang untuk melakukan lebih banyak tembakan lagi menjelang PRN akan datang.

Di pelbagai medan perbualan rakyat dengan jelas boleh didengari rasa tidak puas terhadap lawatan itu, khususnya untuk apa dan atas kapasiti apa kebenaran khas itu diberikan kepada Zahid Hamidi.

Kadangkala pelik juga, kenapalah sebagai pemimpin nombor dua dalam kerajaan, Zahid Hamidi tidak cuba melakukan sesuatu yang tidak menyusahkan kerajaan dan Perdana Menteri di mata rakyat?

Kalau beliau tidak mendedahkan secara terbuka pertemuannya dengan Najib itu, bukankah ia lebih baik? – ShahbudinHusin 15/06/2023.

 

No comments: