PM tekad perbaiki suasana perniaga kecil di Kuala Lumpur

 

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini melawat ke tapak perniagaan kecil di Jalan Tunku Abdul Rahman atau lebih dikenali kawasan Chow Kit.



Beliau melawat untuk mengetahui situasi terkini para penjaja di kawasan yang dikenali sebagai Pusat Penjaja Madani itu.



Katanya, pihak berkuasa akan memberikan lebih banyak tumpuan untuk memperbaiki keadaan penjaja.



"Tadi pasal penjaja, tumpuan bantu penjaja. (Masalah) awning dia tetapi dia kena ikut peraturan, lesen dia, kebersihan dia," katanya ringkas kepada Suara Keadilan apabila ditanya agenda lawatan hari ini.



Sementara itu, Anwar berkata peraturan akan dikuatkuasakan berhubung lesen penjaja yang disewakan kepada pendatang asing.



Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menarik balik lesen yang disewakan atau disalahguna dan memberikannya kepada warga tempatan.



"Saya punya rencana dengan Datuk Bandar dan Pengarah (DBKL) untuk cari jalan (memastikan penjaja) ikut peraturan dan lesen diberikan kepada penduduk tempatan.



"Kalau dia (penjaja) serah kepada yang lain, kita akan tarik balik (lesen)," katanya dipetik Bernama selepas sesi Temu Mesra PM di Pusat Penjaja Madani itu.



Turut hadir Datuk bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.



Awal Jun lalu, PM mengarahkan pihak bertanggungjawab di semua peringkat merancang untuk mengubah wajah penempatan gerai peniaga kecil dan penjaja di seluruh negara kepada infrastruktur lebih selesa, indah dan bersih.



Beliau memberi tempoh masa kira kira dua tahun untuk perubahan itu dilakukan, terutamanya di Kuala Lumpur.