14 MEI INI LENGKAPLAH JEJAK KASIH ANWAR DENGAN UMNO



Selepas dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO dan dihalau daripada parti itu pada 1998, tarikh 7 Februari lalu adalah detik bersejarah bagi Anwar Ibrahim kerana buat pertama kali dapat menjejakkan kakinya semula ke Bangunan UMNO di Menara Dato’ Onn, WTCKL.

Beliau hadir ketika itu untuk mempengerusikan mesyuarat sulung Seketariat Kerajaan Perpaduan yang melibatkan wakil parti-parti yang berada dalam kerajaan perpaduan.

Siapa sangka ketika Tun Mahathir Mohamad memecat beliau 25 tahun lalu dengan tujuan untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri, tetapi akhirnya, selain dapat menjejakkan kaki semula ke Bangunan UMNO yang penuh kenangan itu, lebih manis lagi kerana kembalinya Anwar kali ini selepas suku abad berlalu ialah bersama jawatan Perdana Menteri yang pernah cuba dijauhkan daripadanya.

Dua hari lalu iaitu 7 Mei, satu lagi sejarah indah datang menerkam dalam kehidupan Anwar.

Kali ini beliau bukan saja datang lagi ke Bangunan UMNO, malah mempengerusikan mesyuarat Seketariat Kerajaan Perpaduan di Tingkat 39, Menara Dato’ Onn iaitu tempat di mana beliau dipecat pada 1998 dahulu.

Anwar sempat mengimbas memori pahit masa lalu itu dengan memegang kerusi tempat di mana bellau pernah duduk sebelum dipecat dan dihalau daripada UMNO oleh Tun Mahathir.

Terpaling manis sekali, bersama kedatangannya kali ini sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Seketariat Kerajaan Perpaduan, beliau akhirnya dapat duduk di kerusi orang yang memecatnya yang ketika itu adalah Presiden UMNO.

Selain Anwar berjaya kembali ke Bangunan UMNO selepas 25 tahun berlalu, dapat melihat kembali kerusi yang pernah didudukinya sebelum dipecat dan duduk di kerusi orang yang memecatnya, orang yang memecatnya itu pula kini sudah tersisih jauh daripada UMNO.

Begitulah hebatnya kuasa Tuhan menguji kesabaran dan ketahanan jiwa seseorang yang kental dalam perjuangan serta dalam masa yang sama seperti memberi hukuman kepada pihak yang merasakan terlalu megah dengan kuasa yang ada dalam tangan.

Semua ini adalah pengajaran kepada kita semua bahawa dalam kehidupan di dunia ini, janganlah terlalu megah dan gah dengan kuasa yang hadir bersama jawatan kerana kuasa Tuhan sebenarnya lebih agung dan tak terjangkau oleh manusia untuk memikirkannya.

Dalam kes Anwar ini, bukan saja beliau sendiri barangkali tidak menjangka dapat kembali ke Bangunan UMNO, Tun Mahathir yang memecatnya dan kebanyakan rakyat Malaysia juga tidak menjangka sedemikian takdir Tuhan ditentukan untuk kita semua menyaksikannya.

Melalui dua tarikh itu – 7 Februari dan 7 Mei – Anwar dan UMNO seperti dipertemukan dalam episod jejak kasih layaknya.

Begitu pun, pada 14 Mei akan datang ini apabila berlangsung Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, WTCKL, sekali lagi sejarah indah akan tercipta buat Anwar.

Anwar dipecat pada 1998 dan kali terakhir beliau menjejakkan berada di Dewan Merdeka tentunya ialah ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 1997.

Lebih sedikit daripada 25 tahun berlalu, kembalinya beliau ke Dewan Merdeka pada 14 Mei nanti adalah sebagai Perdana Menteri merangkap Pengerusi Seketariat Kerajaan Perpaduan yang dengan sendirinya melayakkannya sekali lagi duduk di kerusi Tun Mahathir pernah duduk sebelum ini.

Kalau Tun Mahathir sebelum ini duduk di kerusi itu sebagai Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Anwar pula duduk di kerusi yang sama di Dewan Merdeka sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Pengerusi Seketariat Kerajaan Perpaduan serta Perdana Menteri.

Dipecat, dihalau dan diketepikan daripada UMNO, tetapi akhirnya Anwar berjaya kembali ke tempat di mana beliau dipecat dahulu bersama jawatan idaman yang dengan gigih pernah cuba dipisahkan daripadanya.

Dengan itu, selepas itu 14 Mei nanti, boleh dikira lengkap atau sempurnalah jejak kasih antara Anwar dengan UMNO yang terpisah selama 25 tahun lamanya.

Seorang pemimpin UMNO ketika saya berbual-bual dengannya sambil menceritakan renteran ini lantas berkata, jejak kasih Anwar dengan UMNO sebenarnya masih belum sempurna lagi.

Kata beliau, ia hanya sempurna jika setelah Anwar kembali semula kepada UMNO atau dapat membawa PKR yang dipimpinnya bergabung dengan UMNO menjadi sebuah parti yang lebih besar untuk rakyat Malaysia.

Mungkinkah ia akan menjadi kenyataan? – ShahbudinHusin 09/05/2023.

https://shahbudindotcom.net/