Langkah BNM naikkan OPR lindungi pertumbuhan ekonomi


 

Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah terkawal demi memastikan aliran wang ke dalam ekonomi Malaysia adalah pada tahap yang optimum, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.



Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR kepada 3.00 peratus berbanding 2.75 peratus sebelumnya adalah berdasarkan tanggungjawab untuk pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang dan tidak ada sebarang campur tangan politik.



Mengenai keputusan itu, kerajaan katanya harus menghormati budi bicara bank pusat itu untuk menentukan polisi kewangan yang terbaik dengan situasi ekonomi negara.



"Saya pernah sebut sebelum ini, kalau orang politik mempunyai kebebasan penuh untuk menentukan OPR, maka senanglah (kerajaan) nak pinjam duit.



"Sebab itu BNM diberi tanggungjawab melihat kesan-kesan ini dan melaksanakan tindakan yang perlu.



"Cuma kita juga berhati-hati untuk menghormati (budi bicara) dan perlu ada timbang tara dari segi penetapan kadar OPR atau kesan sebenarnya untuk mengawal aliran wang ke dalam ekonomi," kata Rafizi pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Ekonomi di Putrajaya.



Mengulas lanjut mengenai keputusan BNM itu beliau menjelaskan, ia adalah tindakan awal sebagai persediaan untuk berdepan dengan kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat.



"Kerana ia bukan soal inflasi semata-mata, ia juga soal kemasukan wang ke negara ini. Jurang kadar OPR kita dengan Amerika Syarikat dan negera serantau masih besar iaitu antara 2 peratus.



"Jadi kalau Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah mereka dalam masa terdekat, jika tidak ditangani dengan baik, itu akan menyebabkan dana atau portfolio pelaburan keluar dari Malaysia ke negara-negara lain," tambahnya.



Rafizi turut mengingatkan bahawa ekonomi global ketika ini sudah beralih kepada situasi seperti sebelum pandemik, sekiranya OPR tidak dinaikkan, ia berisiko menyebabkan pelaburan tidak masuk ke Malaysia.



Situasi itu jelasnya akan menyebabkan mata wang negara terus melemah yang natijah dari keadaaan itu boleh melonjakkan harga barangan keperluan rakyat.

 

No comments: