PENJELASAN WISMA PUTRA- ARAB SAUDI SAHKAN PERTEMUAN ANWAR DENGAN PUTERA MAHKOTA.

 


Wisma Putra hari ini tampil menjelaskan mengenai lawatan rasmi perdana menteri ke Arab Saudi, sambil berkata ia sudah menerima nota diplomatik yang mengesahkan lawatan Anwar Ibrahim serta pertemuan dengan Raja Salman Abdulaziz dan pemerintah “de facto”, Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Wisma Putera dalam satu kenyataan yang memperincikan lawatan Anwar dari 22 hingga 24 Mac, berkata pihaknya menerima nota diplomatik bertarikh 21 Mac daripada kedutaan Arab Saudi, mengesahkan tarikh perjalanan Anwar ke kerajaan itu.

“Nota diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.

“Kedua-dua nota diplomatik tersebut merujuk kepada Lawatan Rasmi Perdana Menteri pada 22 – 25 Mac 2023 termasuk program kunjungan hormat dengan Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Yang Amat Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, putera mahkota dan perdana menteri Arab Saudi.

“Kedua-dua nota diplomatik tersebut jelas menyatakan kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah Umrah di Makkah dan ziarah di Madinah.”

Wisma Putra sebelum ini berkata lawatan itu adalah atas jemputan Mohammed.

Bagaimanapun persoalan dibangkitkan oleh pembangkang selepas lawatan Anwar ke negara itu berakhir tanpa pertemuan dengan Mohammed atau Raja Salman.

Laporan Bernama berkata pertemuan itu tidak dapat berlangsung kerana putera mahkota mempunyai perubahan rancangan menjelang bulan Ramadan. 

Anwar melahirkan rasa kesal kerana tidak dapat bertemu Mohammed, tetapi beliau dikatakan menolak permintaan pegawai Arab Saudi untuk melanjutkan tempoh lawatannya supaya pertemuan dengan putera mahkota dapat dilakukan. 

Wisma Putra hari ini berkata pihaknya telah membuat semua persiapan awal dan secara profesional, mengikut SOP bagi perjalanan rasmi pemimpin ke luar negara.

“Berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan, lawatan rasmi perdana menteri ke Arab Saudi menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan kerajaan Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

“Malaysia sentiasa menganggap kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik. Dalam konteks ini, Kementerian Luar Negara (KLN) menegaskan bahawa polemik-polemik serta tanggapan-tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usahanya memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa.”

Wisma Putra berkata isu itu dipandang negatif oleh kumpulan tertentu, sambil menambah bahawa ini adalah tidak adil kepada kedua-dua kementerian dan kerajaan, serta Kementerian Luar Negara dan kerajaan Arab Saudi. 

Ia berkata persiapannya untuk lawatan itu melibatkan beberapa siri perbincangan dengan kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, termasuk pertemuan dengan duta kerajaan sebelum tarikh yang dicadangkan ditetapkan. 

Mereka berkata, menteri luar itu juga telah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Arab Saudi semasa lawatannya ke Riyadh pada Februari.

Perbincangan itu menyentuh secara spesifik tentang lawatan perdana menteri dan kesesuaian tarikh-tarikh serta perancangan hasil-hasil lawatan. 

Wisma Putra juga menepis kritikan mengenai waktu lawatan pada awal bulan puasa, mengatakan ini bukan isu di pihak Arab Saudi.

“KLN turut dimaklumkan bahawa kerajaan Arab Saudi mengambil sikap terbuka dan pernah menerima lawatan pemimpin-pemimpin asing dalam bulan Ramadan.”

Ia menambah Anwar dan delegasinya diberikan taraf tetamu negara, termasuk penyediaan kenderaan, penginapan dan perlindungan keselamatan oleh pengawal Diraja Arab Saudi dan pegawai protokol dari mahkamah diraja. 

Mengambil maklum pertemuan yang diadakan Anwar, termasuk dengan presiden Bank Pembangunan Islam, Wisma Putra berkata lawatan perdana menteri itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih kukuh dan menyeluruh.

Sumber – https://www.malaysianow.com








No comments: