SELONGKAR KES RASUAH KERAJAAN TERDAHULU SUATU PERINGATAN JUGA BUAT PEMIMPIN SEMASA


 Di sebalik adanya tuduhan bahawa tindakan menyelongkar kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin kerajaan terdahulu atau blok pembangkang sekarang merupakan pendakwaan terpilih dan seolah-olah Anwar Ibrahim seorang pendendam, hakikatnya apa yang dilakukan itu adalah sesuatu yang tepat dan terpuji.

Anwar yang terlihat sebagai Perdana Menteri paling tegas memerangi rasuah setakat ini, dengan itu secara tidak langsung adalah pemimpin yang benar-benar berani.

Hanya pemimpin yang berani, telus dan ingin menyelamatkan masa depan negara saja yang sanggup tampil memerangi rasuah secara bersungguh-sungguh.

Dengan itu, Anwar tidak harus berganjak daripada iltizamnya itu, meski berapa besar sekali pun cabaran akan dihadapinya.

Tambahan lagi, pemerhatian melalui pelbagai dapatan memperlihatkan rakyat amat gembira atas usahanya itu.

Melihat pelbagai kes rasuah yang terdedah, khusus dalam kes Jana Wibawa yang dibawa ke mahkamah sehari dua ini, rakyat sebenarnya amat meluat dengan perlakuan mereka yang ada kuasa dan pernah menjadi kerajaan dalam membolot kekayaan untuk kepentingan sendiri.

Dalam hal ini, rakyat berharap lebih banyak pendakwaan lagi diambil atas kedurjanaan itu.

Ini sekaligus mengesahkan tindakan itu bukanlah bersifat balas dendam, sengaja mecari salah atau untuk melemahkan lawan politik, tetapi semata-mata bertujuan untuk membersihkan negara daripada kedurjanaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sebenarnya amat parah.

Demi rasuah dan ingin mengaut kekayaan, projek yang dijenamakan atas nama membantu kontraktor Bumiputera pun sanggup diselewengkan lantas diberi terang-terang kepada peniaga kaum lain.

Memang orang yang ada kuasa selalu dan mudah tersilau dengan kuasa yang mereka miliki, lalu disebabkan tamak dan ingin mengumpul kekayaan atau menambah sokongan, amat terdedah kepada penyalahgunaan.

Kalau tiada kesalahan dilakukan, diselongkar walau sedalam mana sekali pun, pasti tiada sebarang penemuan yang mencurigakan boleh ditemui.

Tetapi, jika ada kesalahan ditemui, maka tindakan hendaklah diambil kerana ia merupakan amanah yang mesti dilaksanakan.

Kedurjanaan mereka, terutama apabila tiada lagi kuasa, haruslah didedah dan diambil tindakan supaya ia, selain suatu hukuman, tetapi juga untuk menjadi pengajaran kepada mereka yang sedang berkuasa sekarang.

Bagi pemimpin dalam kerajaan semasa, pendakwaan demi pendakwaan yang terpapar sekarang harus lebih menginsafkan mereka agar sentiasa berhati-hati dalam menggunakan kuasa.

Jika mereka terbabas dan turut melakukan kedurjanaan, selain Anwar sendiri pasti akan bertindak, kesalahan mereka juga akan sampai ke mahkamah akhirnya apabila kerajaan bertukar nanti.

Tiada kerajaan boleh kekal berkuasa selama-lamanya.

Oleh itu, hati-hatilah selalu.

Ini bermakna, apa yang dilakukan Anwar dalam kesungguhannya memerangi rasuah, ia bukan saja untuk menghukum kedurjanaan pemimpin kerajaan terdahulu demi kepentingan rakyat serta negara, ia juga demi untuk memastikan pemimpin-pemimpin kerajaan semasa pimpinannya sekarang ini tidak terghairah sama untuk melakukan rasuah dan salah guna kuasa.

Akhirnya, tidakkah kesungguhan Anwar melawan rasuah adalah suatu kebaikan berganda untuk kita dan anak cucu menikmati kehidupan masa depan di negara ini? – ShahbudinHusin 22/02/2023.




No comments: