Jangan harap guna kes mahkamah Bersatu untuk menang PRN, Umno diberitahu


Parti itu patut menumpukan kepada usaha pulih daripada persengketaan dalaman, kata ahli akademik.

Selain Wan Saiful Wan Jan daripada Bersatu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik memberikan peringatan kepada Umno agar tidak berharap keuntungan dari segi politik susulan pendakwaan terhadap pemimpin Bersatu berhubung rasuah.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya memberitahu FMT, beliau tidak rasa dakwaan itu akan membawa banyak perbezaan kepada peluang Umno pada PRN akan datang.

Beliau berkata, Umno harus menumpukan kepada usaha untuk pulih daripada persengketaan dalaman dan tidak bergantung kepada masalah pesaingnya.

“Kes mahkamah Bersatu tidak akan banyak memberi manfaat kepada Umno,” katanya.

“Umno mesti berusaha memperkukuh kepimpinannya dan memastikan ia bebas daripada proksi, khususnya mereka yang pro-Perikatan Nasional (PN).”

Awal bulan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu berhubung siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan melepaskan jawatannya selepas didakwa menerima rasuah RM6.9 juta dan meminta suapan dengan jumlah yang tidak dinyatakan berhubung projek jalan raya RM232 juta berkaitan dengan program Jana Wibawa.

Turut didakwa, Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, yang minta dibicarakan kerana meminta dan menerima rasuah RM500,000, juga dikaitkan dengan Jana Wibawa.

Awang Azman berkata, Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, meletak jawatan kerana mungkin merasakan parti itu perlu mempertahankan pendirian anti-rasuahnya.

“Bersatu sebelum ini mendakwa ia bersih, tetapi kejadian yang didedahkan berlaku telah mencemarkan imejnya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selagi tuduhan rasuah tidak melibatkan ahli PAS, PN masih boleh mengekalkan sokongan pada PRN disebabkan jentera pilihan raya PAS.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania memberitahu FMT, beliau tidak dapat menyatakan dengan pasti sama ada kes rasuah Bersatu akan menguntungkan Umno pada PRN.

Beliau berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah.

“Jika Umno berkempen menggunakan tuduhan-tuduhan terhadap Bersatu ini, Bersatu boleh dengan mudah melemparkannya kembali kepada Umno. Jadi tidak jelas sama ada ini akan menguntungkan Umno,” katanya.

Chin juga berkata, beliau percaya keputusan Wan Saiful berundur sebagai ketua penerangan Bersatu adalah untuk melindungi parti dan memberikan tumpuan kepada tuduhan rasuahnya.

Peletakan jawatan itu, katanya, tidak mengejutkan kerana tidak elok apabila ketua penerangan, individu yang menjadi tumpuan umum, menghadapi tuduhan rasuah.


No comments: