Warganet teruja, gembira rai pelantikan Anwar


Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri ke-10.

PETALING JAYA: Warganet menyuarakan kegembiraan dan keterujaan di media sosial berhubung pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Ucapan tahniah mula memenuhi media sosial sejurus selepas Istana Negara mengumumkan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai perdana menteri ke-10.

“Tahniah DSAI (Dato Seri Anwar Ibrahim)…sangat gembira untuk anda! Penantian yang berbaloi,” kata pengguna Facebook, Krishnaveni Mahalingam.

Seorang lagi pengguna, Low Lye Yuan lega dengan pengumuman itu dan tidak sabar melihat negara ini ditadbir dengan baik dan ekonomi lebih kukuh di bawah pentadbiran Anwar.

“Tahniah Anwar. Tolong satukan negara ini ketika pemerintahan anda dan kembalikan Malaysia ke landasan betul,” kata Choon Meng.

Pengguna Twitter, @SanjuDaVinci menyifatkan ini sebagai “permulaan era baharu” dan “keadilan menang”.

Seorang lagi pengguna, @CHKen_2 memuji ketabahan Anwar sepanjang kerjaya politiknya.

“Kebangkitan Anwar adalah sesuatu (yang memberi inspirasi) kepada generasi akan datang. Menunggu selama 24 tahun untuk ini, mengharungi pelbagai tikam belakang politik, malah dipenjarakan – tetapi tidak pernah melupakan prinsipnya. Terus percaya.”

Anwar akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 5 petang ini.