PERTEMUAN MAHIADDIN DENGAN BN DI ST REGIS TINDAKAN CUBA PERMAINKAN TITAH AGONG


 Selepas tengahari tadi, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan berkenaan titah Yang Dipertuan Agong agar 30 Ahli Parlimen BN menyertai pembentukan kerajaan perpaduan.

Titah itu disampaikan ketika Ahmad Zahid mengadap baginda bersama Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir pagi tadi.

Susulan titah Agong tersebut, Ahmad Zahid berkata, ia akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN pada malam ini.

Penyampaian titah agar menyertai kerajaan perpaduan kepada BN itu adalah berikutan tindakan Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin yang dengan sombong menolak titah yang sama petang semalam.

Mahiaddin enggan menyertai kerajaan perpaduan sebagaimana dititahkan Agong kerana beranggapan beliau telah mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Berbeza dengan Mahiaddin, Anwar Ibrahim yang turut dipanggil mengadap ke Istana Negara petang semalam, lebih bersifat terbuka dan bersedia dengan titah cadangan kerajaan perpaduan itu demi kebaikan negara dan agar kemelut pembentukan kerajaan dapat segera diakhiri.

Berdasarkan logik, sekiranya BN bersetuju menyertai kerajaan perpaduan itu, ia dengan sendirinya bermakna sebuah kerajaan baharu sudah boleh ditubuhkan.

Ini kerana PH yang mempunyai 82 Ahli Parlimen jika bersama dengan BN yang mempunyai 30 Ahli Parlimen, jumlahnya sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Itu belum dikira lagi dengan Warisan yang mempunyai tiga Ahli Parlimen yang pada petang semalam turut mengumumkan sokongan kepada PH.

Agong bagaimanapun ingin membawa isu pembentukan kerajaan perpaduan itu kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pagi esok terlebih dahulu sebelum memuktamadkannya.

Dengan perkembangam tersebut, kemelut pembentukan kerajaan baharu sudah boleh dikira selesai dan hanya menunggu masa saja majlis angkat sumpah Perdana Menteri akan dijalankann- mungkin petang esok atau pagi Jumaat.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba timbul pula isu pertemuan antara PN dan BN di sebuah hotel petang ini.

Untuk apa lagi PN mahu bertemu BN, sedangkan Mahiaddin telah dengan sombong serta derhaka menolak titah Agong berkenaan kerajaan perpaduan semalam?

Kenapa hanya setelah Agong menitahkan agar BN bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan, barulah pimpinan Mahiaddin mahu berjumpa dengan pemimpin-pemimpin BN?

Apakah kini Mahiaddin dan PN mahu mencantas titah Agong yang mahu kerajaan perpaduan diwujudkan?

Semalam derhaka menolak titah Agong berkenaan kerajaan perpaduan, apakah sekarang Mahiaddin mahu derhaka sekali lagi dengan cuba mencantas pula titah Agong kepada BN itu?

Kepada pemimpin-pemimpin BN yang hadir dalam perjumpaan dengan PN itu, apa lagi yang mereka mahukan?

Walaupun dikatakan BN menghadiri pertemuan dengan Mahiaddin dan pemimpin-pemimpin PN petang tadi untuk mendengar tawaran balas daripada PN, ia sebenarnya tidak perlu lagi.

BN seharusnya menumpukan kepada mesyuarat malam ini untuk membincangkan isu kerajaan perpaduan dengan PH sebagaimana yang telah dititahkan oleh Agong itu.

Mahiaddin jelas tidak ikhlas kerana hanya ingin bertemu BN setelah Agong menitahkan mereka menyertai kerajaan perpaduan pagi tadi.

Lagi pula, masih mahukah BN berketuakan Mahiaddin yang gagal dengan teruk selama 17 mengetuai kerajaan sebelum ini?

Kepada BN dan PN, jika hasil pertemuan petang ini nanti menyebabkan titah Agong berkenaan kerajaan perpaduan dicantas, ini bermakna kedua-dua gabungan itu telah bersikap biadap dan kurang ajar terhadap baginda selaku ketua negara.

Apabila Agong bertitah, tambahan lagi setelah baginda memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja pagi esok, ia sewajibnya mesti dilaksana dengan sedaya upaya, bukan digagalkan yang memperlihatkan seolah-olah sesuatu titah itu boleh dipermainkan dengan sesuka hati oleh pemimpin yang nafsunya tak bertepi.

Apa punya perangailah mereka ini, sudahlah titah Agong nak dipermainkan, kemudian Majlis Raja-Raja pun nak dipermainkan juga. – ShahbudinHusin 23/11/2022.



No comments: