Entah untuk kali yang ke berapa, semalam Tun Mahathir Mohamad sekali lagi menyeru agar parti-parti pembangkang bersatu dan melupakan permusuhan lalu.
Kata beliau, parti-parti pembangkang akan tewas jika mereka tidak bekerjasama.
“Kita berpendapat kalau parti-parti lawan ini berpecah, kita akan kalah.
“Jadi kita kena fikir sama ada kita lupakan permusuhan antara kita seperti dalam PRU14 untuk kalahkan orang yang lebih buruk,” demikian hujahnya.
Dalam soal bekerjasama ini, jika diperhatikan hanya Tun Mahathir bagi pihak GTA dan Pejuang saja yang bersungguh-sungguh serta berkali-kali membuat saranan sedemikian.
Bagi pihak PH, mereka sudah pun membuat kenyataan tidak akan bekerjasama, baik dengan GTA atau pun PN.
Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi PN menyambut penegasan PH itu dengan membalas mereka juga tidak akan bekerjasama dengan PH.
Sebelum itu, PN juga telah memutuskan UMNO dan BN sebagai musuh mereka dalam PRU15 akan datang ini.
Bagi Pas, salah satu anggota PN, walaupun ada usaha menghidupkan semula MN, parti itu akhirnya memuktamadkan untuk kekal bersama PN dan menolak untuk bekerjasama UMNO.
Malah, jika sebelum ini Hadi Awang melabel UMNO sebagai “itik patah kaki”, kali ini beliau menggelar parti pimpinan Zahid Hamidi itu seumpana “durian mentah”.
Sebelum itu, Hadi juga menegaskan tidak akan bekerjasama dengan PH.
Sementara UMNO dan BN, gabungan itu sudah sekian lama memutuskan untuk bergerak solo dan tidak mahu bekerjasama dengan sesiapa.
Maknanya, pihak yang sentiasa terbuka dan teringin sangat bekerjasama dengan pihak lain hanyalah Tun Mahathir dan GTA saja.
Sebab apa?
Sebabnya bukanlah kerana mereka begitu bimbang UMNO dan BN tidak dapat dikalahkan, tetapi kebimbangan yang lebih besar ialah tiada kerusi yang GTA mampu menangi.
Pelbagai penganalisa dan pemerhati politik telah meramalkan GTA bukan saja tidak mampu memberi cabaran dalam PRU15 akan datang ini, malah diramalkan Tun Mahathir sendiri bakal kecundang di kerusi Langkawi, melainkan jika ada kesepakatan dan bekerjasama dengan pembangkang lain.
Makna kata, kerjasama yang diinginkan oleh Tun Mahathir dan GTA lebih bertujuan untuk mereka menumpang kekuatan orang lain agar kemenangan menjadi lebih mungkin.
Begitu pun, penyatuan pembangkang tidak menjamin mereka benar-benar mampu mengalahkan UMNO dan BN jika di dalamnya masih ada Tun Mahathir.
Beliau kini adalah sokok politik paling dibenci dan penuh toksid berikutan sejarah mungkir janji, khianat dan gila kuasa tanpa had yang ada dalam dirinya, meskipun di kemuncak krisis peralihan kuasa dahulu, Anwar Ibrahim sudah sedia beralah dan memberi laluan kepadanya untuk terus menjadi Perdana Menteri selagi dia mahu.
Tetapi rancangannya untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan melupakan terus janji peralihan kuasa tidak pernah padam sehingga akhirnya bertindak solo meletakkan jawatan dengan tujuan sebenar untuk berkuasa dengan lebih lama.
Dengan itu, Tun Mahathir sebetulnya sudah tidak relevan lagi untuk apa juga percaturan politik semasa kerana tiada siapa mahu dipatuk ular dengan sengaja sebanyak dua kali.
Dalam keadaan sekarang, keberadaan bekas Perdana Menteri itu jika bersama blok pembangkang lebih mungkin menyebabkan ramai pengundi tidak keluar mengundi kerana benci, malah akan mendorong penyokong pembangkang sendiri memboikot peti undi.
Tiada siapa lagi mahu mempercayai dan menyokong beliau yang penuh toksid itu, walaupun baru-baru ini Tun Mahathir berkata, bellau adalah seorang yang baik.
Umpama dialog dalam filem Madu Tiga karya P. Ramlee – Baik? Baik ada makna tu!!
Dalam PRU15 akan datang ini, bersendirian sudah pasti akan membuatkan GTA serta Tun Mahathir kecundang dan kalau ada parti-parti pembangkang mahu bersama dengan beliau, mereka juga bakal kecundang sama.
Pilihan terbaik cuma satu, jauhi GTA dan biarkan beliau ditimpa kekalahan kerana ketiadaan Tun Mahathir di pentas politik selepas ini nanti adalah suatu kebaikan yang mampu menyuburkan politik sihat di negara ini.
Tiada lagi pengkhianatan, tiada lagi janji peralihan kuasa dan beliau pun tak perlu lagi mungkir janji.
Setidak-tidaknya laluan beliau lebih aman menuju dunia yang lagi satu yang kian hampir detik mendekatinya. – ShahbudinHusin 16/10/2022.