TANDING DI BAGAN DATUK, SHAMSUL ISKANDAR MAMPU JADI ‘GIANT KILLER’ SEKALI LAGI

 

Jika tiada perubahan dan semuanya berjalan seperti yang dirancang, calon PH di kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam PRU15 pada 19 November depan ialah Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau ketika ini adalah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka dan bekas Ketua Penerangan PKR.

Lawannya ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang telah menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk sejak empat penggal lalu.

Ketika dihubungi, Shamsul Iskandar mengesahkan medan pertarungannya pada PRU15 akan datang ialah di Bagan Datuk sebagaimana yang heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Bermakna, selain di Tambun di mana Presiden PKR dan Pengerusi PH, Anwar Ibrahimtelah mengesahkan bertanding di situ untuk berlawan dengan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, satu lagi pertandingan menarik bakal berlaku di Perak.

Jika Anwar daripada Port Dickson datang ke Tambun, Shamsul Iskandar pula daripada Hang Tuah Jaya, Melaka ke Bagan Datuk.

Misinya tentulah tidak lain untuk mengalahkan Presiden UMNO itu yang hanya menang pada PRU14 lalu dengan majoriti 5,073 undi saja.

Sekaligus, dengan dua nama besar setakat ini diturunkan PKR untuk bertanding di Perak, ia membuktikan janji Anwar dan PH untuk meletakkan negeri itu sebagai barisan hadapan bagi dalam perjuangan memenangi PRU15 ini bukanlah main-main.

Perak sudah pasti menjadi tumpuan besar pada PRU15 akan datang nanti.

Ramai yang bertanya, mampukah Shamsul Iskandar yang datang daripada Melaka menewaskan Zahid Hamidi?

Untuk rekod, pada PRU13, Shamsul Iskandar telah berjaya menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam di kerusi Parlimen Bukit Katil (kini Hang Tuah Jaya) dengan majoriti 5,447 undi.

Pada PRU14 lalu, beliau sekali lagi berjaya menewaskan Ali Rustam, kali dengan majoriti lebih tinggi iaitu 8,640 undi.

Kejayaannya menumbangkan Ali Rustam itu membuatkan beliau digelar sebagai “giant killer” dan selepas PRU14 lali diberikan jawatan Timbalan Menteri Industri Utama.

Rekod Zahid Hamidi pula, pada PRU14 lalu beliau hanya menang dengan majoriti 5,073 undi, meski ketika itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Tetapi, pada PRU15 mendatang, Zahid Hamidi bukan saja tiada lagi apa-apa jawatan dalam kerajaan, malah sedang berdepan puluhan kes mahkamah berkaitan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

Maka dengan itu, tidak mustahil Shamsul Iskandar mampu membuat kejutan menewaskan Zahid Hamidi di Bagan Datuk pula yang bermakna sekali lagi akan menjadi “giant killer”.

Tambahan lagi, dengan kes mahkamah yang sedang dihadapinya, Zahid Hamidi sepatutnya berehat seketika dan tidak bertanding sehingga selesai kes mahkamahnya.

Dengan tidak bertanding lagi, nama UMNO dan BN dapat dihindarkan daripada terkait dengan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Untuk itu, jika berjaya mengalahkan Zahid Hamidi nanti, Shamsul Iskandar boleh dikira telah berjasa besar kerana turut sama berperanan membersihkan nama baik UMNO daripada terus dikaitkan dengan kekotoran yang disengajakan oleh presidennya sendiri.

Apakah pengundi Bagan Datuk tidak mahu turut menyumbang dalam membersih dan memulihkan nama baik UMNO untuk perjuangan masa depannya? – ShahbudinHusin 24/10/2022.


No comments: