Umno terperangkap, gagal capai kemajuan, kata Chin Tong



Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong berkata rakyat
 bimbang dengan prospek Ahmad Zahid Hamidi menjadi perdana
 menteri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakar strategi DAP Liew Chin Tong percaya Umno terperangkap dan tidak mencapai kemajuan politik sejak Parlimen dibubarkan awal bulan ini, dengan pergolakan dalaman dan ketakutan pengundi terhadap Ahmad Zahid Hamidi antara yang menjadi punca.

Beliau berkata, pengundi mungkin kecewa dengan keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen walaupun terdapat kemungkinan berlaku banjir.

Katanya, sebab lain kegagalan Umno untuk mencapai kemajuan ialah persepsi bahawa Umno sebagai punca ketidakstabilan dan kekurangan dana parti bagi kempen pilihan raya.

Liew berkata, pengundi tidak menghargai desakan Umno untuk mengadakan pilihan raya, atas kepentingan mereka sendiri, meskipun terdapat amaran kemungkinan berlaku banjir.

Beliau berkata, pengundi juga tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa Umno mampu membentuk kerajaan yang stabil kerana ia dilihat menjadi punca ketidakstabilan dengan membantu menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Liew juga mendakwa Umno menghadapi masalah kewangan. Pada pilihan raya umum sebelum ini, jentera parti telah dibiayai oleh dana 1MDB.

“Walaupun kumpulan Ismail Sabri Yaakob mungkin mempunyai sedikit dana, mereka tidak mungkin berbelanja banyak tanpa jaminan beliau akan menjadi perdana menteri sekali lagi,” tulis Liew di Facebook.

Katanya, Umno telah berpecah antara “kluster mahkamah” dan “kluster menteri” sejak bermulanya Langkah Sheraton pada 2020.

Kluster mahkamah merujuk kepada pemimpin Umno termasuk presiden parti Zahid yang sama ada dalam perbicaraan atau telah disabitkan dengan rasuah antara lain.

Kluster menteri merujuk kepada Ahli Parlimen Umno yang merupakan sebahagian daripada Kabinet Ismail.

Liew berkata, pengisytiharan Zahid bahawa Umno akan mencalonkan 70% muka baharu pada pilihan raya kali ini boleh mengakibatkan mereka ditentang “warlord” Umno yang akan mensabotaj atau memboikot kempen jika mereka tidak dicalonkan.

Terdapat juga kebimbangan Zahid akan dilantik menjadi perdana menteri akan datang, kerana popularitinya tidak dapat menandingi bekas presiden Umno Najib Razak, walaupun berdasarkan tinjauan, sokongan Najib berpecah dalam kalangan orang Melayu.

Liew berkata: “Saya masih belum bertemu dengan rakyat Malaysia yang berpendapat Zahid akan menjadi perdana menteri yang baik.”

Ramai rakyat Malaysia yang bimbang apabila Zahid diketengahkan sebagai muka Umno, katanya.

No comments: