Cadangan 3 TPM kekal jika PH terajui kerajaan, kata Anwar

 


Anwar Ibrahim berkata, cadangan mewujudkan tiga jawatan TPM
 mungkin boleh direalisasikan jika PH berpeluang merebut kembali
 kuasa di peringkat persekutuan. (Gambar Facebook)

SANDAKAN: Pakatan Harapan (PH) akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya tiga jawatan timbalan perdana menteri (TPM) diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Pengerusinya Anwar Ibrahim, berkata cadangan itu merangkumi seorang TPM masing-masing dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Cadangan ini dari dulu lagi sejak zaman Pakatan Rakyat, kita akan ada satu TPM dari Semenanjung, satu dari Sabah dan satu dari Sarawak. Tetapi kalau ada perubahan, nanti kita akan bincang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jelajah PH Sabah, di sini, hari ini.

Pada 4 Sept tahun lepas, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata cadangan mewujudkan tiga jawatan TPM tersebut mungkin boleh direalisasikan jika PH berpeluang merebut kembali kuasa di peringkat persekutuan.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi PH di Sabah, Anwar yang juga presiden PKR, berkata perkara itu telah selesai dan akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di Jelajah PH Sabah di Tawau hari ini, Anwar berkata PKR yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Tawau, Ranau dan Putatan di Sabah yang dimenanginya pada PRU14 pada 2018 berdasarkan sokongan dan kesedaran rakyat serta kerja keras jentera parti di negeri itu.

“Ahli Parlimen (calon) yang diangkat adalah berani berucap tegas, memperjuangkan nasib rakyat Sabah, dan syarat lain, mesti memiliki rekod integriti bersih, tidak mengambil kepentingan (untuk diri sendiri) termasuk balak serta kontrak dari negeri Sabah,” katanya.

Anwar berkata Sabah memerlukan dasar yang boleh membantu rakyat termasuk berkaitan peluang pekerjaan, isu harga barang, mutu pendidikan, kemudahan asas, kesihatan serta penjanaan ekonomi.

Pada PRU14, PKR menang di Parlimen Tawau, Ranau serta Putatan, namun penyandang kerusi Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu.


No comments: