SELAIN PKR, SELURUH RAKYAT MALAYSIA DAN TERMASUK UMNO JUGA PERLU MENYANGGAH NAJIB



 Antara intipati penting dalam ucapan penggulungan Rafizi Ramli di Kongres Nasional PKR hari ini, selain menyeru semua pihak bekerja keras bagi memenangkan parti dan menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, beliau juga menekankan perlunya propaganda dan pembohongan Najib Razak disanggah secara besar-besaran.

Katanya, tindakan Najib berterusan “meracun” pemikiran rakyat dengan propaganda dan pembohongannya perlu ditangani segera dan mahu semua ahli parti itu bersama-sama menghentikannya.

Menurut Rafizi lagi, semua ahli PKR mesti mula bertindak aktif menyanggah apa saja propaganda yang ditonjolkan bekas Perdana Menteri yang sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah itu.

“Kita kena sanggah Najib, tak boleh biarkan dia bermaharajalela, tak boleh biarkan dia terus syok meracun pemikiran rakyat.

“Mulai hari ini, semua kita bila balik ke kawasan masing-masing, kita perlu terus sanggah Najib sehingga kita hantar dia ke penjara,” katanya dengan penuh semangat dan disambut tepukan gemuruh oleh perwakilan.

Serentak itu, Timbalan Presiden PKR itu mengumumkan laporan polis secara besar-besaran akan dibuat terhadap Najib pada Selasa ini berhubung pembohongan dan isu perkauman yang dimainkannya.

“Hari Selasa nanti kita buat laporan polis secara besar-besaran, tak boleh biarkan dia terus main isu perkauman.

“Selepas ini kalau Najib berbohong, kita buat laporan polis demi laporan polis lagi,” tambah Rafizi.

Jika kita perhati dengan teliti, propaganda palsu dan mainan sentimen perkauman oleh Najib sebagaimana didakwa Rafizi begitu ketara di media sosial bekas Perdana Menteri itu demi semata-mata untuk beliau meraih sokongan dan populariti di sebalik kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Di media sosial, Najib terlihat seolah-olah serba tahu, tetapi di mahkamah banyak perkara dijawabnya hanya dengan dua patah perkataan – tak tahu.

Sebab itu, sebagaimana saranan Rafizi, adalah penting untuk semua propaganda, pembohongan dan mainan isu perkuman Najib itu disanggah dengan bersungguh-sungguh.

Ia sebenarnya bukan saja perlu disanggah oleh ahli-ahli PKR, tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia serta sebahagian ahli UMNO yang bersama kerajaan sedia ada sekarang ini.

Hakikatnya, kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob sekarang, salah seorang pemimpin kanan UMNO sendiri jadi tidak stabil adalah kerana sering didesak untuk disegerakan PRU15 oleh kluster mahkamah yang mana Najib merupakan sebahagian daripadanya.

Kadang-kadang desakan serta tekanan agar disegerakan PRU15 itu bukan pun berasaskan fakta, tetapi lebih kepada sentimen dan keinginan hati semata-mata.

Jika tanpa gangguan daripada Najib dan kluster mahkamah, Ismail Sabri tentu dengan aman dan selesa boleh memimpin kerajaan ini sehingga ke akhir penggal Parlimen iaitu Julai tahun depan.

Dalam konteks PKR dan rakyat Malaysia pula, sanggahan kepada Najib lebih untuk memastikan usaha PKR dan PH membina negara berasaskan keharmonian semua kaum mencapai kejayaan akhirnya.

Jika pembohongan dan api perkauman terus disemarakkan, negara bukan saja tidak maju ke depan, malah akan berundur ke belakang kerana tiada negara boleh mencapai kemajuan tanpa perpaduan dan selagi sentimen perkauman menjadi alat politik untuk meraih populariti.

Senang cerita, semua kita rakyat Malaysia perlu bangun menyanggah Najib sehingga beliau ke penjara demi Malaysia yang aman dan sejahtera. – ShahbudinHusin 17/07/2022.




No comments: