KAH..KAH....KATAK DAH TAK BOLEH LOMPAT LAGI..SEMOGA TERLAKSANA.

 



Sidang Dewan Rakyat bersambung, tumpuan kepada RUU anti-lompat parti



Gesaan supaya undang-undang mengharamkan lompat parti timbul semula selepas “Langkah Sheraton” yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

PETALING JAYA: Dewan Rakyat akan menjadi tumpuan pagi ini apabila Rang Undang-Undang (RUU) anti-lompat parti yang dinantikan, akan dibentangkan.

RUU itu adalah antara terma utama yang terkandung dalam memorandum kerjasama antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Charles Santiago dari DAP berkata, ahli Parlimen akan dapat melihat kandungan RUU dan “butiran tepat” hari ini, sebelum ia dibahaskan selama dua hari pada minggu berikutnya.

“Semua pihak akan menelitinya dan kami boleh menjangkakan banyak idea dan cadangan,” kata Ahli Parlimen Klang itu kepada FMT.

Bagaimanapun Santiago berkata, terdapat “konsensus umum” bahawa ia perlu diluluskan.

“Jika tidak, ia akan menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap ahli politik dan lebih penting lagi, ia tidak akan menimbulkan keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi,” katanya.

Santiago berkata, perbahasan mengenai RUU anti-lompat parti menjadi hangat dan gamat jika ahli Parlimen menyentuh “Langkah Sheraton”.

Tindakan itu membawa kepada kejatuhan kerajaan PH selepas ahli Parlimen daripada gabungan itu berpaling tadah.

“Ia akan menjadi peluang bagi sesetengah pihak untuk melepaskan kemarahan, tetapi juga saat kebenaran bahawa pindaan dibuat bagi memastikan ‘Langkah Sheraton’ tidak berulang.”

Santiago juga berkata, satu lagi RUU yang akan menarik minat ramai ialah bacaan kali kedua RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, bagi menghapuskan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja.

Maria Chin dari PKR berkata, selain RUU anti-lompat parti, beliau menantikan pembentangan RUU gangguan seksual dan RUU mengenai Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) serta Akta Perkhidmatan Parlimen.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu turut menggesa Dewan Rakyat membenarkan media masuk semula ke parlimen kerana ketika ini, hanya media terpilih dibenarkan masuk.

Katanya, masyarakat sivil juga tidak boleh dilayan seperti “penceroboh”.

“Tiada alasan lagi kerana kita telah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid.

“Selagi orang ramai memakai pelitup muka, melakukan penjarakan sosial dan sentiasa membersihkan diri, Parlimen perlu membenarkan media dan masyarakat sivil diberi akses kerana mereka membawa suara rakyat.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, RUU anti-lompat parti akan “panas” jika dibahaskan hingga ke perkara-perkara kecil, termasuk definisi melompat dan bahagian perlembagaan yang akan dipinda.

“RUU itu baharu buat kita, banyak yang dipertaruhkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau berharap ahli Parlimen akan membahaskan dasar kerajaan yang bertujuan untuk menyekat kenaikan kos makanan dan meminimumkan inflasi.

No comments: