Siasatan ke atas hakim perlu dibuat badan kehakiman - Anwar

 



Siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dikaitkan dakwaan mempunyai wang diragui dalam akaunnya seharusnya dilakukan oleh badan kehakiman dengan menubuhkan tribunal.



Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak wajar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia campurtangan dalam hal hal yang membabitkan kehakiman.



"Saya ambil maklum isu melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkait dakwaan wang RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.



"Saya ingin tegaskan institusi kehakiman sendiri mempunyai badan yang menyelia dan mengawal integriti para hakim dan ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada. Justeru campurtangan SPRM melanggar prinsip ini," katanya.



Menurut Anwar lagi, integriti badan kehakiman yang baharu sahaja pulih setelah tercemar teruk sedekad sebelum ini perlu dipertahankan dan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya mempunyai tekad politik dalam mempertahankannya.



"Integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat dari kecelaruan dan ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.



"Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campurtangan politik," kata Anwar lagi.



Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini telah membuat laporan polis ke atas artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ yang didakwa ditulis Raja Petra Kamaruddin.



Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pula dalam kenyataan media berkata tuduhan membabitkan Nazlan adalah palsu, tidak berasas serta berniat jahat.