PEMILIHAN PKR: CALON PERLU JAGA TATA TERTIB KEMPEN
Pemilihan PKR: Calon perlu jaga tata tertib kempen
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN menasihatkan dalam keghairahan para calon dan penyokong berkempen sempena Pemilihan KEAIDLAN 2022, mereka hendaklah menjaga tata tertib dan tidak sekali kali melangar disiplin parti.
Hal itu ditegaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil. Menurut Fahmi, disiplin sangat perlu diutamakan bagi mengelakkan parti berpecah belah selepas pemilihan sebagaimana terjadi sebelum ini.
“Berhubung perjalanan Pemilihan 2022, MPP memberi peringatan kepada semua calon yang bertanding, para penyokong dan anggota KEADILAN amnya agar sentiasa menjaga tata tertib dan disiplin, terutama sepanjang tempoh berkempen sehingga selesai proses pengundian pada 22 Mei.
“Rakyat sedang memerhati dan menilai perilaku para calon dan penyokong, manakala musuh politik sudah pasti bersedia mengambil peluang dan kesempatan untuk menyerang parti dan pimpinan,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Fahmi, MPP menegaskan pihak pihak yang bertanding agar mengamalkan semangat kekeluargaan, tidak kira siapa yang menang semuanya adalah anggota parti yang perlu merapatkan saf sebaik sahaja pemilihan selesai.
“Oleh itu, kempen Pemilihan 2022 ini haruslah dilaksanakan dalam semangat keluarga besar KEADILAN dengan mengetepikan serangan peribadi di samping mengetengahkan idea-idea serta pandangan-pandangan yang mampu membina semula dan memacu parti jauh ke hadapan.
“Selesai pemilihan, seluruh kekuatan pimpinan serta anggota akan digarap, dikumpul dan disusun atur bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” kata kenyataan itu.
Mengenai penganjuran acara debat antara Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas PM Najib Razak, MPP berharap ia akan berjalan sebagaimana dijadualkan.
“MPP mengambil maklum acara Debat Perdana di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Sri Najib Razak mengenai Sapura Energy serta isu-isu lain yang akan diadakan pada 12 Mei nanti, dan berharap ia akan dijalankan seperti yang telah diumumkan,” kata Fahmi.