'Ambil alih setiausaha agung kurangkan beban Rafizi, tinggal pekerjaan di Jakarta' - Saifuddin





Percubaan calon Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli menjawab isu beliau 'bercuti' dengan mengaitkan 'pertolongannya' kepada Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinafikan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu.



Terutama, menurut Saifuddin, fakta yang dinyatakan Rafizi bahawa beliau tidak mempunyai pekerjaan selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum 2013 dan diberi laluan oleh Rafizi untuk menjawat setiausaha agung parti tidak tepat sama sekali.



"Saya tewas kerusi Kulim Bandar Baharu pada PRU 13 dan memilih terus kekal di dalam KEADILAN dengan kedudukan sebagai setiausaha agung parti yang saya sandang sejak 2010 menggantikan Datuk Salahuddin Hashim.



"Pada masa yang sama untuk menyara kehidupan saya berulang alik hampir setiap minggu ke Jakarta memenuhi undangan syarahan beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan institusi pendidikan. Bayaran upahnya tidaklah besar namun mencukupi membiayai keperluan saya seisi keluarga, seorang isteri dan lima anak. Saya tidak menetap di Jakarta.



"Pada pemilihan parti 2014, Rafizi terpilih Naib Presiden dan ikut dilantik sebagai setiausaha agung manakala saya kekal sebagai anggota Biro Politik. Saya terlibat membantu parti dalam kerja-kerja persediaan pilihan raya, mewakili parti dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat dan menjelajah seluruh negara memenuhi undangan anggota-anggota parti



"Keadaan ini berterusan sehinggalah pada 2015, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali dipenjarakan setelah rayuannya ditolak dalam kes fitnah 2.0 dan pada tahun sama, Pakatan Rakyat terbubar dengan penarikan diri Pas pada muktamar tahunannya yang berlangsung di Kuala Selangor. Saya mula mengurangkan tugasan di Jakarta untuk memberi lebih tumpuan kepada tugasan parti," kata Saifuddin dalam kenyataan hari ini.



Tambah calon Timbalan Presiden KEADILAN itu, pada masa sama dinamik politik berubah dengan tertubuhnya Pakatan Harapan pada 2015 dan kepimpinan Najib Razak mengalami krisis serta Bersatu ditubuhkan, menambah lagi tugas politik beliau.



Malah, katanya, tugas Setiausaha Agung KEADILAN yang ketika itu yang disandang Rafizi juga bertambah berat.



Justeru, tegas Saifuddin, dalam satu perbicangan dengan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah, beliau bersetuju untuk meringankan beban Rafizi dengan mengambilalih jawatan setiausaha agung parti.



"Rafizi dengan jawatan Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Ahli Parlimen Pandan ketika itu sedang menghadapi beberapa kes mahkamah, termasuklah NFC. Perbincangan kami berdua dengan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail tertumpu bagaimana mengurangkan beban Rafizi yang terpaksa turun naik mahkamah dan pada masa sama tugasan parti agar tidak terjejas.



"Akhirnya Dr Wan Azizah melantik saya semula sebagai Setiausaha Agung pada 26 November 2016," katanya.



Mengenai jawatan Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang yang diungkit Rafizi diwujudkan berdasarkan kertas kerja beliau kepada Lim Guan Eng, Saifuddin tidak ingat sebarang cadangan seumpama itu yang mengaitkan dirinya dihantar Rafizi kepada Guan Eng



"Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dan saya kerap mengadakan perbincangan menyentuh isu-isu Melayu dan Islam, khususnya bagaimana membetulkan persepsi salah terhadap Kerajaan Negeri.



"Beliau mempelawa saya untuk berkhidmat di sana dan dilantik sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri. Saya kemudian mencadang pelantikan Ustaz Wan Ji Wan Husin sebagai Pegawai Khas di Pejabat Ketua Menteri.



"Kedua-dua kami berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan Exco Agama Datuk Abd Malik Kassim. Siri Kuliah, khutbah dan tazkirah menjadi saluran kami.



"Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang? Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Lim Guan Eng, apa lagi untuk mencadangkan perlantikan saya melalui kertas kerja kepada Kerajaan Negeri," katanya.



Bagaimanapun sebagai kesimpulan, kata Saifuddin, beliau tidak pernah menganggur sebagaimana ditohmahkan. Juga tidak pasti apakah maksud Rafizi berkata memberi laluan kepada beliau sebagai setiausaha agung selepas 2 tahun Rafizi memegang jawatan tersebut, melainkan mengambilalihnya atas persetujuan Dr Wan Azizah bagi mengurangkan beban Rafizi.



Namun Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu tidak berniat untuk memperpanjangkan salam faham berkenaan, dan berkata pertandingan merebut jawatan timbalan presiden tidak perlulah sehingga mencarikkan silaturrahmi antara dua sahabat lama yang tulus berjuang.



Perkara yang lebih penting, kata Saifuddin adalah menyatukan kekuatan parti menghadapi pilihan raya umum dalam beberapa bulan dari sekarang.