RUU Anti Lompat Parti: Perbincangan PH - Kerajaan setujui 4 perkara


 

Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri serta Menteri Undang undang dalam perbincangan pagi tadi telah menyetujui 4 perkara berhubung tindakan seterusnya ke atas Rang Undang undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti.



Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, perbincangan tersebut yang telah diadakan di Parlimen sebelum sesi Dewan Rakyat bermula pagi ini membuahkan hasil amat positif.



"(Persetujuan dicapai bahawa) pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ianya dihadkan kepada Rang Undang-Undang berhubung larangan melompat parti sahaja



"Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat RUU Anti Lompat Parti



"Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti, dan ditugaskan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan," kata Majlis Presiden.



Manakala Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti yang dipersetujui kedua-dua belah pihak akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen yang akan diadakan sebelum penghujung bulan Mei 2022



"Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).



"PH komited kepada proses untuk memastikan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia," kata kenyataan itu lagi.



Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.

 

No comments: