Pindaan Perlembagaan RUU antilompat parti dibentang, lulus sebelum hujung Mei, kata PH


PETALING JAYA: Pindaan Perlembagaan rang undang-Undang (RUU) antilompat parti akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum hujung Mei.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, perkara itu diputuskan menerusi perbincangan pemimpin utama PH bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa RUU itu merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).

“PH komited kepada proses untuk memastikan pindaan Perlembagaan dan RUU ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ismail berkata cadangan undang-undang untuk melarang ahli Parlimen melompat parti akan dibentangkan di Parlimen pada Julai.

Sementara itu, Majlis Presiden PH berkata perbincangan itu turut menyentuh Pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ia dihadkan kepada RUU berhubung larangan melompat parti sahaja.

Selain itu turut disentuh Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian supaya selaras dengan semangat RUU antilompat parti.

Kenyataan itu turut menyebut Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti.

Katanya, jawatankuasa itu ditugaskan meneliti, memperhalusi serta mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan RUU berkenaan ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan.

No comments: