LU SAPA BRO

 



Muhyiddin ‘silap’ mahu dirujuk mengenai pembubaran Parlimen, kata penganalisis




Gambar yang dimuat naik Muhyiddin Yassin menunjukkan beliau dan pemimpin PN berbuka puasa bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu mesti dirujuk sebelum Parlimen dibubarkan mungkin memakan diri, kata seorang penganalisis.

“Saya rasa beliau buat kesilapan apabila berkata bahawa beliau mahu dirujuk,” kata James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania.

“Dengan terpaksa memberitahu media bahawa beliau ingin dirujuk … ini sebenarnya memberitahu kita, beliau kini tidak dirujuk.

Tonton video di sini.

“Ini adalah tanda kelemahan (politik), bukan kekuatan. Ia juga isyarat bahawa pilihan raya umum (PRU) akan diadakan tidak lama lagi.”

Muhyiddin semalam memuat naik gambar dirinya berbuka puasa bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin PN lain.

Katanya, beliau mengingatkan Ismail bahawa PN, sebagai komponen utama dalam pembentukan kerajaan persekutuan, mesti dirujuk sebelum sebarang keputusan dibuat untuk membubarkan Parlimen, yang akan membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Chin berkata, dengan bekas perdana menteri itu perlu menyatakan secara terbuka bahawa beliau mahu dirujuk bermakna wujud “tekanan yang hebat” dalam Umno untuk Ismail menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen.

PRU akan datang mesti diadakan sebelum penggal Parlimen tamat pada Mei 2023 dan pemimpin Umno adalah antara yang berada di barisan hadapan menggesanya diadakan lebih awal susulan kemenangan meyakinkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

Spekulasi bertiup kencang bahawa PRU15 mungkin akan diadakan menjelang akhir tahun ini dengan sesetengah pihak meramalkan ia akan diadakan dalam tempoh empat hingga enam bulan.

Bagaimanapun, PN dan Pakatan Harapan (PH) tidak lantang bersuara mengenai perkara itu.

Felo kanan (penyelidikan strategik) Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, kenyataan Muhyiddin menjelaskan bahawa PN belum bersedia untuk menghadapi PRU15.

Katanya, Ismail tidak bertanggungjawab untuk berunding dengan Muhyiddin mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

“Bukan sahaja perdana menteri sekarang, tetapi juga perdana menteri lain. Mereka akan buat keputusan, kemudian memaklumkan (kepada pihak lain). Sama ada pihak ini akan dirujuk atau tidak, saya rasa tidak.”

“Dalam senario politik semasa, BN dan PN dianggap musuh politik, jadi saya tidak fikir Ismail akan berunding dengan Muhyiddin,” katanya.

Pentadbiran Muhyiddin jatuh Ogos lepas selepas beliau kehilangan sokongan majoriti berikutan keputusan sekumpulan Ahli Parlimen Umno yang diketuai Presiden Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik balik sokongan mereka kepadanya dan beralih kepada Ismail.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, walaupun PN dan PH tidak ingin melihat PRU15 dipercepatkan kerana bimbang akan mengalami kekalahan besar, tiada jaminan bahawa gabungan itu akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.

“Namun ‘masa akan datang’ membayangkan harapan dan Muhyiddin hanya mampu berpegang pada harapan itu,” katanya.

No comments: