Rohana setuju pulangkan USD10 juta wang 1MDB, kata laporan.Banyak duit siman ya...

 


Rohana Rozhan sebelum ini disiasat SPRM susulan pendedahan bekas ketua operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner dalam kes 1MDB di Mahkamah New York.

PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan yang dikatakan menjalin hubungan dengan Tim Leissner, secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang USD10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc itu.

Utusan Malaysia yang memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan, agensi itu kini giat mendapatkan wang terbabit selepas Rohana bersetuju menyerahkan aset dimilikinya daripada Leissner yang menggunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Proses mendapatkan aset berkenaan giat dilakukan SPRM ketika ini,” kata sumber itu semalam.

Ketika memberi keterangan di mahkamah di New York, Leissner yang juga saksi pendakwa berkata, dia memberi Rohana USD10 juta dan wanita itu membeli rumah bernilai USD7 juta di Montpelier Street, London.

Siasatan ke atas 1MDB, yang dianggap skandal kewa­ngan terbesar di dunia, menyaksikan berbilion dolar dana agensi itu diseleweng oleh pelbagai pihak.

Keterangan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) itu mendorong SPRM mengambil keterangan daripada Rohana, Februari lalu.

Rohana sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa dan SPRM dalam siasatan kes itu.

SPRM memaklumkan bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Isu berkaitan rumah di London dan nama Rohana disebut oleh Leissner yang mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila dia berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang anti-rasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.


No comments: