Pemilihan PKR: Rafizi mahu Saifuddin dan calon jawatan tertinggi lain jelas pendirian


Astro Awani
Pemilihan PKR: Rafizi mahu Saifuddin dan calon jawatan tertinggi lain jelas pendirian
Rafizi dan rakan seperjuangannya tidak percaya kepada sebarang strategi yang dirunding di bilik tertutup dalam kalangan bangsawan politik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegaskan, sudah sampai masa untuk pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon-calon jawatan tertinggi lain menjelaskan pendirian mereka mengenai hala tuju parti serta sumbangan gerak kerja untuk menang pada pilihan raya akan datang.
Beliau dan rakan seperjuangan yang sependapat tidak percaya kepada sebarang strategi yang dirunding di bilik tertutup dalam kalangan bangsawan-bangsawan politik.
"Kami merupakan barisan pimpinan Keadilan yang meyakini rakyat. Kami tidak percaya kepada sebarang strategi yang dirunding di bilik tertutup di kalangan bangsawan-bangsawan politik.
"Kami yakin dengan kebijaksanaan rakyat yang akan memberi kemenangan kepada Keadilan jika kita benar-benar berjuang untuk mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Malah katanya, pemilihan kali ini sewajarnya tidak dicemarkan dengan emosi, serangan peribadi atau kempen yang bersandarkan 'wahyu'.
"Saya sedar ada calon-calon yang menyebarkan konon mereka menjadi pilihan presiden parti dan memberi gambaran jika tidak mengundi mereka, itu tidak setia kepada 'institusi presiden'.
"Kempen sebegini wajar dihentikan serta-merta. Hak untuk memilih pemimpin adalah hak individu setiap anggota.
"Pencapaian seorang calon seharusnya didasarkan semata-mata kepada rekod pendiriannya yang sehaluan dengan perjuangan parti, serta kemampuan calon itu menggerakkan kempen dan gerak kerja untuk melonjakkan kedudukan parti di mata rakyat," tambahnya.
Ujarnya lagi, pemilihan kali ini akan menjadi pungutan suara dalam kalangan anggota biasa PKR untuk memutuskan sama ada beberapa kelompok yang terus mahu merundingkan pelbagai kerjasama dengan parti-parti lawan ini benar-benar ada mandat dari anggota parti.
Kenyataan Rafizi itu turut menyebut pasukannya yang antara lain terdiri daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haron, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir semalam, melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara, manakala bagi jawatan utama tertinggi parti pula berlangsung hari ini.
Buat julung-julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lalu.
Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei, manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.