Azmin menang rayuan batal saman pengundi Gombak.Kali ni kita bagi dia menang. Kita buat cara lain pula .

 

Pengundi mendakwa Azmin Ali melanggar kewajipan fidusiari sebagai ahli Parlimen mereka susulan Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan Azmin Ali berjaya dalam rayuannya untuk membatalkan saman difailkan 10 pengundi di Parlimen Gombak atas dakwaan melanggar kewajipan fidusiari.

Panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Yaacob Md Sam membenarkan permohonan Azmin untuk membatalkan saman itu selepas mendengar hujahan daripada peguamnya Nizamuddin Abdul hamid dan peguam mewakili pengundi, K Shanmuga ketika prosiding secara dalam talian.

“Kami berpandangan bahawa terdapat kesilapan yang boleh dirayu yang memerlukan campur tangan rayuan.

“Berdasarkan undang-undang yang telah ditetapkan, kami mendapati bahawa tindakan responden (pengundi) jelas tidak boleh dipertahankan dan pasti gagal. Tidak ada keperluan untuk saman ini menjalani perbicaraan penuh,” katanya.

Hakim lain yang mendengar rayuan itu ialah Lee Heng Cheong dan Hashim Hamzah.

Mahkamah tidak mengeluarkan perintah untuk kos.

Awal tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman difailkan 10 pengundi di kawasan Parlimen Gombak terhadapnya kerana didakwa melanggar kewajipan fidusiari.

Mahkamah turut menetapkan 7 hingga 10 Jun untuk mendengar kes itu.

Dalam tuntutan mereka, pengundi mendakwa Azmin membuat representasi bahawa dia bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) 2018 untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) dan “membebaskan Malaysia daripada pegawai rasuah”.

Mereka berkata, ketika kempen pilihan raya, Azmin memberitahu pengundinya untuk “mengundi PKR bagi memastikan kerajaan yang cekap dan stabil”.

“Representasi itu semata-mata untuk menipu pengundi menyokong dan mengundi beliau (supaya) beliau boleh menjadi ahli Parlimen,” kata mereka.

Mereka juga berkata, Azmin menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020 dan menyertai pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai BN serta orang yang “dituduh mengamalkan rasuah” seperti diakui sendiri oleh Azmin.

Ketika ini, Azmin merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam Jemaah Menteri pimpinan Ismail Sabri Yaakob. Beliau juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.


No comments: