Roger Ng dibukti bersalah, mengapa rakyat masih puja Najib?

 




Keputusan Mahkamah Daerah Timur New York, Amerika Syarikat (AS) yang mendapati pegawai kewangan Goldman Sachs, Roger Ng bersalah dalam menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya membuka mata dan minda rakyat Malaysia terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa turut terlibat.


Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, keterangan bersumpah di dalam mahkamah di AS daripada Roger Ng dan ketuanya Tim Leissner telah mengaitkan Jho Low dan Najib dalam skandal kewangan melibatkan negara terbesar di dunia itu.


"Saya hanya akan berkata, satu dunia sudah tahu tahu kes ini dan mahkamah di AS serta peguam-peguam dari luar negara juga telah mengambil bahagian dan mendakwa mereka yang terlibat


"Tetapi di Malaysia berbeza apabila mereka yang mencuri wang rakyat dan terlibat dalam kes ini bebas ke hulu ke hilir tanpa rasa malu. Malah mereka yang terlibat dan dikdakwa ini seolah-olah tidak bersalah pula.


"Dalam hal ini, saya nak tanya kepada masyarakat kita mengapa mereka sanjung dan beri penghormatan kepada Najib Razak dan mereka yang lain turut terlibat? Adakah masyarakat kita sedar siapa yang bersalah dan tidak?" soalnya.


Justeru, William yang juga seorang peguam korporat terkenal berkata, Najib selepas ini sudah tidak punya hujah lagi untuk mengatakan kes 1MDB yang melibatkan beliau sebagai fitnah pembangkang dengan pembuktian dan keputusan di mahkamah AS itu.


"Bukti sudah ada. Dan kes ini telah dibuktikan di mahkamah oleh agensi yang berintegriti yang tidak ada unsur politik. Dan mereka mengikut landasan undang-undang yang betul.


"Najib nak membela diri macam mana lagi kerana sudah jelas beliau terlibat. Masyarakat nak percaya agensi berintegriti ini atau mereka yang bersalah," katanya lagi.


Jumaat lalu, juri Mahkamah Daerah Amerika Syarikat menyabitkan kesalahan ke atas Roger Ng atas tuduhan rasuah berkaitan peranannya bersekongkol mencuri ratusan juta dolar daripada dana 1MDB


Roger didapati membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, pengubahan wang dan merasuah pegawai untuk mendapatkan perniagaan untuk Goldman Sachs.


Hakim daerah AS Margo Brodie kemudian memerintahkan Ng dikenakan perintah berkurung sementara menunggu hukuman, tetapi berkata dia tidak mengkategorikan Ng sebagai individu sebagai berisiko melarikan diri.