Keputusan MoU perlu perbincangan rasmi PM, pimpinan PH, kata DAP




Pakatan Harapan tidak terikat dengan apa-apa keputusan Majlis Tertinggi Umno, menurut Loke Siew Fook.

PETALING JAYA: DAP menegaskan sebarang keputusan berkenaan memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) perlu dibincangkan secara rasmi antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan tertinggi gabungan itu.

Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook berkata MoU berakhir pada 31 Julai ini adalah persefahaman di antara PH dengan kerajaan pusat, bukannya pucuk pimpinan Umno.

“Justeru itu, pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan Majlis Tertinggi Umno,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pada Khamis mengumumkan bahawa MKT Umno membuat ketetapan bahawa MoU antara kerajaan dan PH tidak akan diteruskan.

Ismail kemudian berkata, kerajaan pimpinannya buat masa ini akan mengikut keputusan MKT Umno itu, tetapi tidak menolak kemungkinan sebarang perubahan boleh berlaku, selepas berakhir Julai nanti.

PH sebelum ini menawar untuk memperbaharui MoU itu dengan syarat Ismail tidak segera mengadakan pilihan raya umum, sesuatu yang dituntut oleh Umno ekoran kemenangan besarnya pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Dalam pada itu, Loke berkata, isu yang paling penting ialah pelaksanaan semua komitmen kerajaan termaktub dalam MoU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan.

Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Apr lalu ditangguhkan buat kali kedua selepas ia ditangguhkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penangguhan itu susulan Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti.

Beliau berkata, ia dihantar balik untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.


No comments: