BENARKAH ZAHID HAMIDI TIDAK BOLEH DIKALAHKAN SEBAGAI PRESIDEN UMNO?

 

Kalau kita berbual-bual dengan pemimpin atau ahli UMNO yang merupakan penyokong kepada Ahmad Zahid Hamidi, mereka tanpa ragu-ragu mengatakan Presiden UMNO itu sukar dikalahkan jika dilawan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Hujah mereka, selain Zahid Hamidi dianggap mempunyai lebih ramai penyokong berbanding Ismail Sabri, sokongan daripada penyokong-penyokong Najib Razak dikatakan akan lebih menguatkan lagi kedudukan Presiden UMNO itu dalam mempertahankan jawatannya.

Kata mereka, meskipun Ismail Sabri orang Pahang sama dengan Najib, tetapi bekas Perdana Menteri itu lebih memihak kepada Zahid Hamidi yang merupakan rakan seperjuangannya sejak era Pemuda UMNO pada tahun 80an lagi.

Untuk itu, sekian lama sejak Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri dan terdapat ura-ura beliau mungkin mahu memastikan pemilihan UMNO diadakan terlebih dahulu sebelum PRU15, semua mereka mengatakan sia-sia saja untuk berbuat demikian jika tujuannya untuk membolehkan Ismail Sabri dapat mengambil alih jawatan Presiden UMNO.

Ini kerana, tambah mereka, Naib Presiden UMNO itu tidak mungkin mampu melawan kekuatan yang dimiliki oleh Zahid Hamidi.

Bagi mereka, Ismail Sabri bukan saja tidak mungkin menang, malah ia lebih terdedah untuk dimalukan sebagai Perdana Menteri yang kalah bertanding jika berlawan dengan Presiden UMNO.

Secara sepintas lalu, demikianlah gahnya keyakinan penyokong Zahid Hamidi terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang kini sedang sibuk menghadiri perbicaraan dengan kes terkumpul yang dihadapinya di mahkamah berjumlah 87 kes semuanya.

Tetapi, kenapa Zahid Hamidi sentiasa saja berusaha agar PRU15 diadakan terlebih dahulu berbanding pemilihan UMNO?

Kalau beliau begitu yakin Ismail Sabri tidak mampu mengalahkannya, kenapa masih takut mengadakan pemilihan UMNO mengikut jadual, sedangkan tidak lama selepas menang pada 2018 dulu, beliau pernah berjanji tidak akan menangguhkan tarikh pemilihan yang tempoh wajibnya ialah setiap tiga tahun?

Tidakkah jika diadakan pemilihan UMNO terlebih dahulu, selain menunjukkan jiwa gagah beraninya, malah sekiranya pula berjaya mempertahankan jawatannya, Zahid Hamidi tentu saja akan lebih dihormati ketika mengetuai UMNO mendepan PRU15?

Yang peliknya, usaha Zahid Hamidi mahu menangguhkan pemilihan UMNO bukan sekadar menggunakan tempoh peruntukan 18 bulan yang sedia dibenarkan oleh perlembagaan parti melalui ketetapan yang dipersetujui MT, bahkan sehingga meluluskan usul dalam PAU2021 baru-baru ini bahawa pemilihan UMNO hendaklah diadakan enam bulan selepas pilihan raya dilangsungkan.

Dalam hal ini, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dalam ucapan penggulungan PAU2021 dan sebagai sokongan kepada usul berkenaan berkata, dengan lulusnya usul tersebut, sekiranya PRU15 diadakan pada tahun 2030 sekali pun, tetapi pemilihan UMNO tetap diadakan enam bulan selepasnya.

Kenapa begitu beria-ia mahu menangguhkan pemilihan UMNO dan agar ia diadakan selepas PRU15 pula,?sampai perlu dibawa usul dalam PAU untuk dipersetujui?

Adakah ini tanda yang sahih Zahid Hamidi tidak boleh dikalahkan dalam pemilihan UMNO?

Kemudian dalam mesyuarat MT pada 14 April lalu, diputuskan bahawa UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 14 Mei depan bagi meminda perlembagaannya berkaitan usul yang diluluskan oleh PAU2021 baru-baru ini.

Ini bermakna, ketetapan bahawa pemilihan UMNO hendaklah diadakan enam bulan selepas pilihan raya sebagaimana dipersetujui dalam usul PAU2021, bukan sekadar terpakai untuk PRU15, tetapi juga terpakai untuk semua pilihan raya umum selepas ini kerana sudah menjadi sebahagian daripada perlembagaan.

Maksud meminda perlembagaan ini tifak lain ialah untuk mengikat Ismail Sabri sebagai pemimpin parti agar sentiasa akur dan patuh kepada perlembagaan UMNO dan tidak boleh sesuka hati cuba untuk melewatkan PRU15 kepada tempoh selepas pemilihan parti.

Sehingga ke tahap meminda perlembagaan untuk memastikan pemilihan UMNO tidak diadakan lebih dahulu berbanding PRU15, apakah ini juga hujah yang boleh pakai bahawa Zahid Hamidi benar-benar tidak boleh dikalahkan oleh Ismail Sabri?

Jika benar-benar berani berlawan, lebih-lebih lagi kononnya tidak boleh dikalahkan kerana ada ramai penyokong, ditambah dengan sokongan daripada Bossku lagi, kenapa Zahid Hamidi takut berdepan realiti pertandingan dan asyik dengan agenda menangguh-nangguhkan pemilihan?

Atau beliau seorang yang pemalu untuk mengaku dirinya penakut? - ShahbudinHusin 16/04/2022.

 

No comments: